Sebutan semula kes rogol babit Adun Tronoh 16 Julai

Sebutan semula kes rogol babit Adun Tronoh 16 Julai

Mahkamah Sesyen menetapkan 16 Julai bagi sebutan semula kes rogol pembantu rumah warga Indonesia.

Paul Yong Choo Kiong. (Gambar Bernama)
IPOH:
Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 16 Julai bagi sebutan semula kes rogol pembantu rumah warga Indonesia membabitkan Adun Tronoh, Paul Yong Choo Kiong.

Hakim Harith Mohamed Yasin menetapkan tarikh tersebut selepas peguam tertuduh, Farhan Sapian, memaklumkan pihaknya menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung rayuan memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Naidatul Athirah Azman.

Naidatul, ketika prosiding pengurusan kes hari ini, berkata pihaknya memohon agar tarikh perbicaraan ditetapkan kerana kes ditangguhkan beberapa kali sebelum ini.

“Kes ini bawah kod kakitangan kerajaan tetapi hampir setahun masih belum berjalan (perbicaraan) lagi dan mangsa juga masih dalam perlindungan,” katanya.

Farhan, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, berkata Mahkamah Sesyen menetapkan tarikh sebutan semula dulu sementara menunggu tarikh dari Mahkamah Persekutuan.

“Pihak pendakwaan mohon tarikh bicara ditetapkan namun demikian hakim mahkamah bersetuju menetapkan tarikh sebutan semula terlebih dulu memandangkan rayuan disediakan dan dihantar ke Mahkamah Persekutuan, tunggu tarikh sahaja,” katanya.

Pada 5 Dis tahun lalu, Hakim Sesyen Norashima Khalid menetapkan tarikh perbicaraan Yong, yang merupakan bekas exco, pada 10 hingga 14 Feb 2020.

Pada 23 Ogos 2019, Yong, 50, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dakwaan merogol pembantu rumahnya, di sebuah rumah di Meru Desa Park antara 8.15 malam dengan 9.15 malam pada 7 Julai 2019.

Pada 10 Feb lepas, Mahkamah Rayuan di Putrajaya menolak permohonan Yong untuk memindahkan perbicaraan kes rogol dihadapinya, daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi sebelum pasukan pembelaan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan pada keesokannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.