
Beliau turut memaklumkan, kadar kematian akibat wabak itu di negara ini juga antara yang paling rendah di seluruh dunia, iaitu 1.41%.
“Jika dibandingkan, kadar penyembuhan kes Covid-19 di Malaysia (96.4%) adalah di antara yang tertinggi dalam kalangan negara Asean.
“Selain itu, kadar kematian juga merupakan antara yang paling rendah di seluruh dunia (1.41%). Justeru, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 semakin menurun setiap hari.
“Untuk pertama kalinya sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, kes aktif adalah kurang daripada 200 pada hari ini,” katanya pada sidang media di kementeriannya hari ini.
Beliau berkata, tiada kes kematian disebabkan oleh Covid-19 dicatakan di negara ini sejak 12 hari lalu.
“Kementerian Kesihatan ingin mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia atas kerjasama bagi pencapaian ini, serta usaha kita bersama-sama membendung penularan jangkitan Covid-19.
“Namun demikian, suka diingatkan bahawa peperangan menghadapi virus Covid-19 masih belum tamat.
“Masyarakat disaran kekal berwaspada dan terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) serta saranan yang ditetapkan supaya kita dapat memutuskan rantaian penularan COVID-19,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan kerajaan dalam melaksanakan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) adalah sebagai sebahagian daripada langkah pemulihan (soft landing) strategi keluar negara.
“Jika dilihat statistik, ia sememangnya memberangsangkan dan memberi keyakinan kepada pembukaan semula pelbagai sektor bagi mempertingkatkan ekonomi negara secara tersusun.
“Pematuhan individu, syarikat dan komuniti pada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan turut menyumbang kepada pencapaian ini.
“SOP ini disediakan dengan rundingan bersama pelbagai pemegang taruh, agar ia seimbang, iaitu dengan mengambil kira faktor keselamatan rakyat, nyawa dan juga mata pencarian,” katanya.
Terdahulu Noor Hisham berkata, jumlah pesakit yang sedang dirawat kerana Covid-19 ketika ini adalah kurang daripada 200 kes, sementara 6 kes baru dilaporkan dalam tempoh 24 jam.
Katanya, 191 kes masih dirawat dengan 2 daripadanya berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Noor Hisham berkata, daripada 6 kes baru, 5 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara dan 1 melibatkan rakyat Malaysia akibat penularan tempatan.