
Pengerusi Kumpulan Prasarana Tajuddin Abdul Rahman berkata, 2 daripada set gerabak itu diperoleh dan sedang dalam proses pemasangan di Westport, Pelabuhan Klang, manakala selebihnya akan diterima secara berperingkat sehingga 2023.
“Selain meningkatkan kapasiti (penumpang) khususnya untuk waktu puncak pagi dan petang, pengenalan tren baru akan meningkatkan keselesaan di samping mengekalkan kekerapan tren pada purata 2.5 minit,” katanya dalam sidang media selepas lawatan kerja ke depoh LRT laluan tersebut di sini, hari ini.
Beliau berkata, LRT laluan Kelana Jaya kini beroperasi dengan kapasiti 84 tren, termasuk 35 tren 2 gerabak untuk menampung lebih 300,000 penumpang sehari.
Tajuddin berkata, bagi tren empat gerabak, ia boleh menampung kapasiti lebih 900 penumpang manakala tren dua gerabak boleh menampung lebih 200 orang.
“Dengan penambahan tren, kita harap boleh mencapai sasaran pertambahan bilangan penumpang sebanyak tujuh peratus setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata, LRT laluan Kelana Jaya merupakan rangkaian paling sibuk dalam perkhidmatan rel kendalian Rapid Rail.
Katanya, pihanya juga bercadang menghantar kakitangan menjalani program latihan di luar negara bagi meningkatkan kemahiran dalam mengurangkan kebergantungan pada pembekal import.
Terdahulu, Tajuddin meluangkan masa kira-kira 2 jam meninjau operasi depoh LRT laluan Kelana Jaya dan mengadakan perbincangan dengan tenaga pengajar Pusat Kecemerlangan Prasarana selain meninjau kemajuan projek pembinaan bangunan baru Prasarana.