
Bercakap pada satu webinar berhubung perkara itu, pakar kanan mengenai prinsip asasi dan hak di tempat kerja Pertubuhan Buruh Sedunia (ILO) Bharati Pflug berkata, wabak itu bakal menyaksikan peningkatan bilangan kanak-kanak yang terpaksa bekerja.
Ini temasuklah pornografi, pengedaran dadah, ikatan hutang, pelacuran dan kerja berbahaya seperti kerja bawah air, bekerja untuk tempoh lama dalam persekitaran bahaya dan kerja malam menggunakan peralatan berbahaya.
Pflug berkata, penyebab utama keadaan ini ialah peningkatan kadar pengangguran.
“Keluarga akan menggunakan semua cara yang ada untuk terus hidup,” katanya.
Dalam pada itu, Somasundram Karuppiah dari Kongres Kesatuan Sekerja bercakap mengenai kesan krisis Covid-19 ke atas kehidupan pekerja migran di negara ini.
Beliau berkata, mereka tidak dapat menghantar wang ke kampung halaman, sekali gus menyebabkan ramai menjadi buruh kanak-kanak untuk hidup.
Katanya, terdapat lebih 500,000 pekebun kecil kelapa sawit di negara ini yang perlu dididik berhubung perkara itu.
Beliau menggesa kerajaan mengambil langkah bagi memastikan kontraktor yang mengurus ladang tidak membenarkan pekerja membawa keluarga mereka masuk secara haram berikutan kebimbangan mengenai kanak-kanak tanpa kerakyatan diambil bekerja pada musim menuai.
Beliau juga mahu kerajaan menyediakan pendidikan untuk anak-anak pekerja migran bagi membolehkan mereka bekerja.
Katanya, dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri, walaupun 90% kanak-kanak dikatakan bersekolah, isu buruh kanak-kanak masih ada.
Penolong pengarah kanan di Jabatan Buruh, Rhymie Mohd Ramli berkata, buruh kanak-kanak di premis pekerjaan formal di semenanjung jarang berlaku.
“Mungkin ada dalam kategori pekerjaaan tidak formal,” katanya.
Kes sedemikian biasanya melibatkan kanak-kanak tanpa kerakyatan dan dari kalangan kumpulan B40.
Webinar bertajuk “Covid-19: Protect children from child labour” dianjurkan oleh ILO dan Unicef.