
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata, langkah ini bertujuan mewujudkan mekanisme lebih telus dalam proses pengurusan permit dan lesen, meningkatkan integriti dan mengelak berlakunya rasuah.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai anti rasuah (JKKMAR) juga bersetuju untuk memperkukuh akauntibiliti dan integriti ahli Parlimen melalui dasar pengisytiharan harta dan penerimaan hadiah.
Katanya, mesyuarat JKKMAR hari ini turut dimaklumkan mengenai status perisytiharan harta anggota pentadbiran dan ahli Parlimen sepertimana yang dinyatakan di dalam Kod Etika Anggota Pentadbiran yang menghendaki anggota pentadbiran membuat perisytiharan harta dalam tempoh 3 bulan dari tarikh mengangkat sumpah.
Muhyiddin berkata, kerajaan akan melaksanakan Pelan Anti-Rasuah Organisasi (OACP) dan Penilaian Risiko Rasuah (CRM) di semua kementerian atau sektor awam untuk kawalan pencegahan rasuah yang efektif.
“Bagi memantapkan lagi sistem pencegahan rasuah di sektor swasta melalui “Beneficiary Ownership” dan entiti perniagaan mengikut garis panduan tatacara mencukupi.
“Meningkatkan keberkesanan dan ketelusan perolehan awam bagi mengelak ketirisan dana awam dan menumpukan kepada isu-isu ekonomi, terutamanya kos sara hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhyiddin berkata bagi memantapkan proses tatatertib dalam perkhidmatan awam, mesyuarat secara prinsipnya bersetuju satu kajian komprehensif dilaksanakan bagi menambah baik pematuhan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP).
“Menyedari keperluan mewujudkan dasar bagi menjamin integrity persekitaran digital, mesyuarat secara prinsipnya juga bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh Cyber Security Malaysia supaya satu kajian dilaksanakan bagi mendapatkan bukti empirikal keperluan dasar antirasuah digital serta mengenal pasti keperluan perundangan berkaitan.
“Kerajaan akan meneruskan usaha meningkatkan tadbir urus dan integriti melalui pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023, bagi memastikan hasrat meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secara telus dan berkesan,” katanya.