Alasan larang pendatang masuk pasar borong ‘logik lemah’, kata aktivis

Alasan larang pendatang masuk pasar borong ‘logik lemah’, kata aktivis

Seorang aktivis berkata DBKL menggunakan 'logik yang lemah' dan seorang lagi mengatakan nampak seperti dwistandard.

Pengarah North-South Initiative, Adrian Pereira berkata DBKL menganggap pendatang lebih berkemungkinan menyebarkan Covid-19.
PETALING JAYA:
Dua NGO yang memperjuangkan hak pendatang menolak alasan yang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berikan untuk melarang warga asing masuk pasar borong Kuala Lumpur.

Pengarah North-South Initiative, Adrian Pereira berkata DBKL menggunakan “logik yang lemah dan alasan berdiskriminasi” apabila mengatakan larangan itu untuk mencegah warga asing membeli barangan untuk dijual semula.

Beliau beritahu FMT kenyataan DBKL itu, yang dikeluarkan pada Selasa, menunjukkan DBKL pelarian akan menyalahgunakan transaksi dan pendatang lebih berkemungkinan menyebarkan Covid-19.

Mengulas penjelasan DBKL bahawa ia mahu menangkis persepsi awam pasar borong itu “masih dikuasai” warga asing, beliau menyoal: “Adakah ini kerana kecenderungan pemimpin kita mencipta penyelesaian populis?”

Beliau mendakwa DBKL tidak tahu bagaimana untuk menggunakan “penyelesaian berasaskan hak asasi” untuk menguruskan situasi yang bermasalah.

Sumitha Shaanthinni Kishna, pengarah Our Journey berkata, DBKL nampak seperti dwistandard memandangkan peruncit tempatan juga akan menjual barangan yang dibeli di pasar borong.

Selain itu, tambahnya, DBKL tidak menunjukkan bukti menyokong dakwaan warga asing menjual semula pembelian dari pasar itu.

Datuk Bandar Nor Hisham Ahmad Dahlan sebelum ini mengeluarkan memo mengatakan warga asing tanpa permit sah dan tidak bersama warga Malaysia tidak dibenarkan masuk pasar itu. Beliau berkata peraturan sama terpakai ke atas pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).

Memo itu tersebar di media sosial.

DBKL juga berkata pekerja asing tidak dibenarkan sama sekali bekerja di pasar borong KL.

Mengulas alasan DBKL bahawa warga asing tidak perlu memasuki pasar itu kerana aktiviti pembelian dilakukan secara borong dan bukannya runcit, Sumitha berkata: “Kalau begitu keadaannya, tiada seorang pun boleh membeli di pasar itu kecuali mereka yang membuat pembelian secara borong. Semua orang membeli di situ kerana ada banyak jenis barang dan harga lebih murah.”

Penyelaras Migrant Care Malaysia, Alex Ong faham DBKL cuba mengurangkan bilangan orang yang membeli-belah di pasar itu.

Beliau berkata larangan itu tidak akan memberi kesan pada pekerja asing yang ada permit sah tetapi memberi kesan pada pelarian yang bekerja atau berniaga di situ.

“Adalah penting untuk merumuskan dasar yang jelas bagi menyelesaikan masalah berkaitan pekerjaan dan mata pencarian pelarian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.