Bekas exco Afif akan jadi aset berharga kami, kata PPBM Pulau Pinang

Bekas exco Afif akan jadi aset berharga kami, kata PPBM Pulau Pinang

Dr Afif Bahardin dipecat Lembaga Disiplin PKR.

Adun Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (kanan) berkata sokongan Dr Afif Bahardin terhadap PPBM akan membolehkan pembangkang mempunyai semak dan imbang lebih baik terhadap prestasi kerajaan negeri.
GEORGE TOWN:
Seorang Adun PPBM Pulau Pinang hari ini mengalu-alukan Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin yang mungkin menyertai parti itu.

Adun Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq berkata pengalaman Afif sebagai exco selama 2 penggal mampu membantu semak dan imbang pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini dikuasai DAP serta PKR.

“Kami gembira mendengar beliau menyokong PPBM dan mengalu-alukan beliau untuk menjadikan Pulau Pinang lebih baik,” katanya kepada FMT.

Ketua pembangkang, Muhammad Yusoff Mohd Noor berkata Afif boleh menyuarakan masalah rakyat di DUN.

“Ini akan menguatkan pihak pembangkang. Sebagai bekas exco, beliau lebih tahu bagaimana sesetengah perkara boleh ditambah baik atau dibaiki.

“Saya harap kita boleh duduk, berbincang dan berkongsi idea demi kemajuan kerajaan negeri dan menangani isu yang menjejaskan rakyat,” katanya ketika dihubungi.

Afif ketika dihubungi memberitahu FMT: “Dalam sidang DUN seterusnya, saya akan menjadi wakil rakyat PPBM.”

Bernama memetiknya sebagai berkata, beliau belum menyerahkan borang keahliannya, tetapi sudah memaklumkan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin yang beliau akan menyertai parti itu.

Ketua PKR Pulau Pinang, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata Afif “dipecat” Lembaga Disiplin parti.

Spekulasi mengenai Adun Sungai Acheh

Timbul spekulasi yang Adun Sungai Acheh daripada PKR, Zulkifli Ibrahim akan melompat ke kem pembangkang dengan mengisytiharkan dirinya mesra Perikatan Nasional.

Baru-baru ini, Zulkifli dilantik sebagai ahli lembaga pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Beliau turut dilihat bersama Muhyiddin dalam satu mesyuarat di Putrajaya semalam, bersama Afif dan Adun yang mesra PN.

PKR Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, tindakan Zulkifli sudah dilaporkan kepada Lembaga Disiplin parti untuk disiasat.

“Ada bukti beliau bersekongkol dengan pengkhianat. Beliau turut menunjukkan beliau mengkhianati mandat pengundi dan melancarkan serangan terhadap Presiden kita, Anwar Ibrahim, yang memberi peluang kepadanya untuk bertanding,” kata Bakhtiar dalam satu kenyataan.

Tanpa Zulkifli, jumlah wakil rakyat pembangkang Pulau Pinang akan berkurangan kepada PPBM hanya memiliki 3 kerusi, Umno (2) dan PAS (1).

Sumber daripada pembangkang berkata, ketua pembangkang baru mungkin dilantik berdasarkan jumlah terbaru.

PH memiliki 34 daripada 40 kerusi di DUN Pulau Pinang, dengan DAP mempunyai 19 kerusi, PKR memiliki 13 (termasuk Zulkifli) dan Amanah 2 kerusi.

Terdahulu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow hari ini dilaporkan berkata, kerajaan PH Pulau Pinang masih kuat kerana ia “mempunyai majoriti dan mandat rakyat”.

Beliau berkata demikian susulan pertemuan Zulkifli dengan Muhyiddin.

Bulan lalu, pakar perlembagaan memberitahu FMT walaupun undang-undang anti-lompat parti Pulau Pinang boleh diguna pakai ke atas wakil rakyat yang melompat parti, ia mungkin ditolak mahkamah kerana undang-undang itu mungkin dianggap tidak berperlembagaan memandangkan Perlembagaan Persekutuan membenarkan kebebasan berpersatuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.