Petronas sedang muktamadkan perjanjian cukai jualan dengan Sarawak

Petronas sedang muktamadkan perjanjian cukai jualan dengan Sarawak

Peguam berkata Petronas berjanji sebelum 3 Ogos akan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan ia membayar cukai jualan.

PUTRAJAYA:
Syarikat minyak nasional, Petronas berkata ia sedang memuktamadkan perjanjian dengan kerajaan Sarawak berkenaan cukai jualan ke atas produk petroleum.

Peguam Petronas, Malik Imtiaz Sarwar memberitahu pemberita perkara itu selepas sebutan kes di Mahkamah Rayuan hari ini.

“Kami berjanji akan menarik balik rayuan sebelum 3 Ogos,” tambahnya.

Hakim Mahkamah Rayuan, Kamaludin Md Said menangguhkan rayuan Petronas ke tarikh itu sementar menunggu penyelesaian. Hakim lain yang bersidang bersamanya adalah Ravinthran Paramguru dan Abu Bakar Jais.

Penasihat undang-undang kerajaan negeri, JC Fong beritahu mahkamah bahawa kerajaan negeri tidak membantah penangguhan itu kerana Petronas berdasarkan suratnya berjanji akan menarik balik rayuannya.

Petronas memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching menolak semakan kehakiman yang mahu mencabar Ordinan Cukai Jualan Sarawak yang menetapkan Petronas membayar kerajaan negeri cukai jualan 5% ke atas produk petroleum.

Syarikat itu mendakwa undang-undang negeri yang digunakan untuk mengenakan cukai itu tidak mengikut perlembagaan.

Sarawak mengenakan cukai ke atas produk petroleum pada 1 Jan 2018 mengikut Ordinan Cukai Jualan. Ia juga menyaman Petronas atas cukai jualan yang belum dibayar dan penalti mencecah RM1.3 bilion.

Petronas dan jabatan ketua menteri sebelum ini berkata mereka bersetuju untuk bekerjasama membangunkan industri minyak dan gas di Sarawak, dan Petronas bersetuju untuk mengugurkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan ia membayar cukai itu.

Sebagai balasan kepada persetujuan Petronas untuk selesaikan bayaran itu, Sarawak akan secara beransur-ansur mengurangkan kadar cukai jualan 5% ke yang dikenakan ke atas syarikat minyak itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.