Muhyiddin gesa Vietnam bantu Myanmar tangani krisis pelarian Rohingya

Muhyiddin gesa Vietnam bantu Myanmar tangani krisis pelarian Rohingya

Perdana menteri berkata, Vietnam yang merupakan pengerusi Asean 2020, boleh memainkan peranan lebih besar untuk membantu Myanmar menyelesaikan masalahnya.

Muhyiddin Yassin menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatannya dari Vietnam, Nguyen Xuan Phuc hari ini.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menggesa Vietnam memainkan peranan lebih besar dalam menangani krisis pelarian Rohingya.

Beliau menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatannya dari Vietnam, Nguyen Xuan Phuc, hari ini dan membincangkan bagaimana kedua-dua negara boleh bekerjasama menangani cabaran selepas penularan Covid-19.

“Saya akhiri perbualan dengan menyarankan Vietnam selaku pengerusi Asean 2020 memainkan peranan lebih besar dalam membantu Myanmar menangani isu pelarian Rohingya yang turut menjejaskan Malaysia,” tulis Muhyiddin di Facebooknya.

Malaysia menjadi destinasi pilihan etnik Rohingya yang melarikan diri daripada penganiayaan di Myanmar, di mana operasi ketenteraan pada 2017 menyebabkan lebih sejuta orang melarikan diri ke kem pelarian di Bangladesh.

Minggu lalu, Malaysia berkata ia akan menghantar kumpulan terakhir pelarian Rohingya kembali ke laut selepas membaiki bot yang dinaiki mereka dari Bangladesh awal bulan ini.

Kebimbangan terhadap penularan Covid-19 menghalang Malaysia daripada menerima bot pelarian Rohingya pada April lalu, yang ketibaan berpotensi mereka menyumbang kepada peningkatan xenofobia dan ucapan kebencian terhadap mereka di media sosial.

Muhyiddin ketika menyuarakan sokongan penuh Malaysia kepada Vietnam sebagai pengerusi Asean, berkata beliau yakin Nguyen boleh memainkan peranan proaktif dalam memimpin tindak balas Asean terhadap pencegahan Covid-19.

Beliau berkata, beliau turut bercakap dengan Nguyen mengenai langkah diambil kedua-dua negara yang berjaya mengawal penularan Covid-19 dan Malaysia bersama Vietnam perlu meningkatkan kerjasama dalam sektor kesihatan, khasnya penghasilan vaksin dan ubat untuk Covid-19.

“Selain memperkukuh hubungan dua hala, kami juga komited memperluas bidang kerjasama meliputi ekonomi, perdagangan, pertanian dan pendidikan untuk kepentingan bersama.”

Katanya, beliau menghargai sokongan Vietnam dalam urusan penghantaran pulang 526 rakyat Malaysia di negara itu sejak 26 Mac lalu, manakala Putrajaya pula membantu menghantar 276 rakyat Vietnam pulang pada 10 Mei lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.