Kerajaan beku ambil pekerja asing semua sektor hingga akhir tahun, kata menteri

Kerajaan beku ambil pekerja asing semua sektor hingga akhir tahun, kata menteri

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata, langkah itu bertujuan mengutamakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan diringi pegawai HDRF Nelson Renganathan (kiri) dan Shahul Hameed Dawood pada majlis pelancaran inisiatif pekerjaan di Putrajaya hari ini. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pengambilan pekerja asing dalam semua sektor dibekukan hingga hujung tahun ini dengan peluang pekerjaan kini diutamakan kepada penduduk tempatan, kata Menteri Sumber Manusia, M Saravanan.

“Kita tidak akan membenarkan pengambilan pekerja asing sehingga akhir tahun ini. Mereka (pekerja asing) boleh datang sebagai pelancong jika dibenarkan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Inisiatif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), di sini, hari ini.

Ketika ini, beliau berkata terdapat kira-kira 2 juta pekerja asing di negara ini.

“Kami berusaha mengurangkan pekerja asing selain memberi keutamaan kepada penduduk tempatan untuk mendapatkan pekerjaan,” katanya.

Saravanan berkata, kementeriannya akan menilai semula langkah tersebut menjelang akhir tahun sekiranya ia dapat membantu rakyat.

Beliau dalam pada itu berharap pencari kerja menerima peluang pekerjaan yang ada bagi memastikan negara tidak perlu bergantung kepada pekerja asing.

“Jangan fikir hendak tunggu kerja yang sesuai kerana mungkin kerja yang sesuai tidak akan wujud dalam masa terdekat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.