PPBM tak tanding PRK Chini formula terbaik kerjasama PN, kata Pemuda Umno

PPBM tak tanding PRK Chini formula terbaik kerjasama PN, kata Pemuda Umno

Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia adalah permulaan baik untuk BN dan PPBM terus mencari formula terbaik bagi menjalin kerjasama politik dalam menghadapi PRU15.

Asyraf Wajdi Dusuki
PETALING JAYA:
Pemuda Umno menyifatkan keputusan PPBM tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini hari ini sebagai formula terbaik untuk kerjasama politik antara pelbagai parti dalam Perikatan Nasional menjelang pilihan raya umum ke-15.

“Ini merupakan satu isyarat kerjasama politik yang baik. Permulaan yang baik juga untuk BN dan PPBM terus mencari formula terbaik bagi menjalin kerjasama politik dalam menghadapi PRU akan datang,” kata Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki kepada FMT.

Tetapi katanya, kerjasama itu perlu selaras prinsip utama membela nasib rakyat.

“Apa yang penting, asas kerjasama ini tidak boleh lari daripada prinsip untuk membela nasib rakyat dan kelangsungan kestabilan negara dengan memastikan pasak yang menjadi asas kekuatan negara ini dipertahankan, terutamanya sifat keindukan Islam dan Melayu-Bumiputera dalam realiti kemajmukan agama dan bangsa.”

Rabu lalu, PPBM mengumumkan ia tidak akan bertanding pada PRK Chini, sebaliknya jentera mereka akan digerakkan untuk menyokong dan memastikan kemenangan calon pilihan BN yang akan mewakili PN.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar memuji sikap matang PPBM tidak bertanding pada PRK Chini.

“Ini bukan saja merupakan tanda sokongan kepada PN, tetapi juga sokongan kepada penjimatan perbelanjaan kewangan ketika kerajaan menghadiri krisis Covid-19.

“Rakyat diharap dapat bersatu padu dalam menangani penularan Covid-19, mengecil saiz pertembungan ataupun tiada pertandingan dalam pilihan raya adalah satu langkah bijak dan sikap bertanggungjawab semua pihak.”

PRK Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu.

Abu Bakar yang mewakili BN pada pilihan raya umum 2018 berjaya mempertahankan kerusi disandangnya itu dalam saingan 3 penjuru dengan majoriti 4,622 undi, mengetepikan calon PAS yang mendapat 5,405 undi dan calon PKR mewakili Pakatan Harapan yang meraih 1,065 undi.

DUN Chini terletak di bawah Parlimen Pekan yang diwakili bekas perdana menteri, Najib Razak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.