Ekspatriat pengurusan tertinggi dibenar masuk bermula Rabu depan

Ekspatriat pengurusan tertinggi dibenar masuk bermula Rabu depan

Kerajaan kini membenarkan ekspatriat pengurusan tertinggi masuk ke negara ini tanpa perlu memohon kebenaran Jabatan Imigresen.

Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata, individu dalam kategori EP1 seperti pengarah urusan syarikat dibenarkan masuk secara automatik tanpa perlu mendapat kelulusan awal Jabatan Imigresen.
KUALA LUMPUR:
Ekspatriat kategori EP1 melibatkan pengurusan tertinggi dibenarkan masuk ke Malaysia mulai Rabu ini (24 Jun), kata Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud.

Beliau berkata, individu dalam kategori EP1 seperti pengarah urusan syarikat dibenarkan masuk ke negara ini secara automatik tanpa perlu mendapat kelulusan awal daripada Jabatan Imigresen.

“Apabila mereka ini tiba di Malaysia, pihak imigresen akan membuat semakan terhadap pas ekspatriat sebelum mereka dibenarkan masuk.

“Selain itu, ekspatriat daripada kategori EP1 ini perlu memuat turun aplikasi MySejahtera serta menjalani ujian saringan Covid-19 melalui pengambilan swab,” katanya hari ini.

Khairul berkata demikian mengulas berhubung keputusan kerajaan yang kini membenarkan ekspatriat kategori EP1 masuk ke Malaysia.

Dalam pada itu beliau berkata, pelajar tempatan yang ingin ke luar negara bagi tujuan menyambung pengajian juga dibenarkan berbuat demikian tanpa perlu mendapatkan kelulusan awal Jabatan Imigresen mulai Rabu ini.

“Pelajar hanya perlu mengemukakan dokumen sokongan semasa berurusan di kaunter Jabatan Imigresen,” katanya.

Khairul berkata, pihaknya akan terus memantau kemasukan warga asing di pintu masuk utama negara bagi mengelak pembolosan, terutama ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan kini membenarkan ekspatriat melibatkan pengurusan tertinggi masuk ke Malaysia tanpa perlu memohon kebenaran Jabatan Imigresen.

Ismail berkata, mereka perlu menjalani ujian saringan Covid-19 di negara asal sebelum berlepas ke Malaysia atau menjalani saringan sejurus tiba di pintu masuk negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.