
Presidennya, Mohamad Sabu berkata, parti itu menegaskan iltizam dan komitmen dalam mempertahankan kesatuan PH sebagai satu-satunya wadah yang memperjuangkan kesejahteraan rakyat dan melaksanakan perubahan dalam negara.
“Amanah menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab PH bersama gabungan Dr Mahathir Mohamad dan pasukannya serta Warisan untuk terus berusaha mengambil balik mandat dan hak rakyat yang telah diberikan kepada PH dalam pilihan raya umum yang lalu.
“Ini adalah untuk meneruskan usaha mentadbir negara yang menjunjung keutuhan integriti, menjamin dan membentuk ekonomi yang mapan, menegakkan kerajaan berintegriti dan melawan rasuah serta mewujudkan keharmonian antara kaum dan agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamad berkata demikian susulan mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah yang berlangsung pagi tadi.
PH yang terdiri daripada gabungan PKR, Amanah dan DAP, serta disokong oleh Warisan di Sabah dan 4 ahli Parlimen yang menyokong Mahathir, sepatutnya mengumumkan calon perdana menteri gabungan itu pada Selasa.
Pengumuman itu adalah sebahagian daripada kempen gabungan itu untuk kembali membentuk kerajaan menerusi undi tidak percaya.
FMT sebelum ini melaporkan bahawa PH bersetuju untuk menamakan Mahathir untuk jawatan tertinggi itu dengan Anwar Ibrahim sebagai timbalannya dengan perjanjian “hitam putih”.
Bagaimanapun keputusan yang dilaporkan itu sukar diterima penyokong Anwar, yang menuduh Mahathir memungkiri janji untuk menyerahkan jawatan itu kepada presiden PKR itu semasa pentadbiran 21 bulan PH sebelum ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, Amanah amat mengambil berat kegelisahan dan kerisauan rakyat terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditubuhkan tanpa mandat rakyat dan membelakangkan amalan urus tadbir baik.
Beliau berkata, antaranya PN mengabaikan fungsi dan peranan Parlimen sebagai institusi semak dan imbang Negara, terutamanya dalam urusan perbelanjaan dana awam.
“Lebih membimbangkan, pembebasan beberapa individu yang terkait dengan tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berskala besar baru-baru ini yang menimbulkan tanggapan campur tangan politik dalam institusi kehakiman.
“Ini juga menimbulkan tanggapan akan berlaku pembebasan individu-individu lain yang sedang didakwa dan juga penularan amalan-amalan rasuah,” katanya.
Mohamad berkata, ini termasuk amalan memperalatkan kedudukan dan jawatan sebagai habuan untuk meraih sokongan ahli Parlimen akan menyebabkan kepentingan institusi negara terjejas.
“Salah guna institusi penguatkuasaan dan perundangan untuk mendakwa dan memberikan tekanan terhadap pemimpin pembangkang juga dilihat menjadi amalan baru kerajaan,” katanya.