
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yussof berkata projek yang menelan kos RM46 billion itu didapati membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.
Fauzi berkata, antara kesan buruk jika projek itu diteruskan adalah menyebabkan kemusnahan kekal ke atas ekosistem dataran lumpur dan kawasan pendaratan penyu dan sebahagian terumbu karang di Pulau Rimau di situ.
“Kawasan dataran lumpur lain yang akan terjejas dengan projek PSR ini ialah Teluk Tempoyak, Permatang Damar Laut, Sungai Batu, Teluk Kumbar dan Gertak Sanggul dengan anggaran keluasan 345.5 hektar akan musnah kekal.
“Kawasan ini kaya dengan plankton, iaitu mikroorganisme yang menjadi makanan laut dan annelids, iaitu sejenis cacing laut.
“Ekosistem dataran lumpur juga terkesan dengan rantaian makanan untuk burung-burung hijrah mencari makanan berhampiran Kuala Gula, Perak, apabila berlaku aktiviti pengorekan pasir,” katanya.

Fauzi berkata, projek PSR juga dijangka akan menjejaskan sumber perikanan yang secara langsung memberi kesan ke atas 4,996 nelayan dan 511 penternak akuakultur marin di negeri itu.
Selain itu katanya, apabila PSR ini siap, dianggarkan seramai 446,300 orang akan menghuni pulau ini dalam tempoh 50 tahun.
Fauzi berkata, bekalan air mentah tidak akan mencukupi untuk penghuni pulau buatan itu dalam jangka panjang kerana permintaan akan meningkat kepada 1,884 juta liter setiap hari berdasarkan angka daripada pihak berkuasa air.
“Pada waktu itu Pulau Pinang dijangka akan mengalami masalah kekurangan air yang ketara apabila tiada sumber lain bagi memenuhi keperluan negeri. Apatah lagi jumlah air yang banyak diperlukan untuk disalurkan kepada penduduk di PSR nanti,” katanya.
Fauzi berkata, kegagalan kerajaan negeri mengatasi masalah banjir dan tanah runtuh di negeri itu juga banyak memberi kesan kepada rakyat dan alam sekitar.
Katanya, sekiranya nasihat dan syarat projek ini gagal dipatuhi, dijangka lebih banyak kesan buruk akan berlaku di Pulau Pinang.
“Justeru, PAS Pulau Pinang memohon agar projek PSR ini dtarik balik kelulusannya oleh pihak menteri.
“Memandangkan kelulusan projek ini perlu melalui kementerian, kami berharap sangat agar ia tidak diteruskan.
“Harap dapat mempertimbangkan permohonan ini dengan kadar segera demi kesejahteraan penduduk di Pulau Pinang dan negeri-negeri di sekitarnya yang turut terlibat dalam projek ini,” katanya.
Di bawah projek PSR kerajaan negeri bercadang menebus guna 1,821.085 hektar kawasan laut bagi membina 3 pulau buatan merentang dari selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ke arah timur sekitar Permatang Damar Laut untuk mewujudkan tanah bagi membiayai projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).
PTMP ialah projek inisiatif kerajaan negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion, merangkumi terowong dasar laut menghubungkan bahagian pulau ke tanah besar, lebuh raya, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas secara menyeluruh di bahagian pulau dan tanah besar.