
Ketua Polis Kuala Lumpur, Mazlan Lazim berkata si mati selepas ditangkap memperkenalkan dirinya sebagai Dhan Bahadur dan menyerahkan salinan pasport yang tertera nama itu kepada pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.
“Setakat ini, keterangan dan dokumen si mati mengesahkan namanya sebagai Dhan Bahadur yang tinggal di Malaysia sejak 12 tahun yang lepas. Keterangan saksi yang juga merupakan rakan serumahnya yang turut ditangkap bersama si mati mengesahkan si mati bernama Dhan Bahadur dan semua rakan serumah mereka juga memanggil si mati dengan nama yang sama,” katanya.
“Pemeriksaan fizikal tidak dapat dibuat ke atas si mati kerana tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat,” katanya.
Mazlan berkata siasatan ke atas identiti mangsa dijalankan dengan kerjasama imigresen, dan pihak kedutaan akan diberi penerangan berhubung kes itu.
Si mati ditahan pada 27 Mei dan meninggal dunia dalam lokap Balai Polis Jinjang pada 31 Mei. Kedutaan Nepal bagaimanapun beritahu FMT bahawa Dhan Bahadur, yang pernah bekerja di Malaysia dari 2015 hingga 2018, masih hidup selepas mengesahkan maklumat itu dengan pihak berkuasa tempatan di negara itu.
Pihak kedutaan berkata ada kemungkinan pasport lelaki itu disalin tanpa pengetahuannya.
Polis menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang si mati tampil melaporkannya.