Trump label gerakan aktivis anti-fasis sebagai kumpulan pengganas

Trump label gerakan aktivis anti-fasis sebagai kumpulan pengganas

Presiden AS itu menyalahkan Antifa sebagai 'pelampau bersayap kiri' kerana merampas protes aman terhadap penyalahgunaan kuasa polis selepas kematian seorang lelaki kulit hitam di Minneapolis.

Penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi di Taman Flushing Meadows Corona di New York pada Ahad. (Gambar AP)
WASHINGTON:
Presiden Donald Trump berkata, Amerika Syarikat akan mengklasifikasikan gerakan Antifa sebagai kumpulan pengganas selepas menyalahkannya atas keganasan di beberapa bandar baru-baru ini.

“AS akan mengklasifikasikan Antifa sebagai kumpulan pengganas,” umumnya di Twitter.

Trump dan beberapa penasihat tingginya menyalahkan Antifa dan kumpulan yang digelar mereka sebagai “pelampau bersayap kiri” kerana merampas protes aman terhadap penyalahgunaan kuasa polis selepas kematian seorang lelaki kulit hitam di Minneapolis.

Rusuhan tercetus di berpuluh-puluh bandar akibat kematian George Floyd ketika ditahan polis yang dirakamkan pada Isnin minggu lalu.

Trump dalam satu siri tweet turut mengucapkan tahniah kepada pasukan pengawal kebangsaan kerana keadaan kembali terkawal di Minneapolis pada Sabtu selepas keganasan berlarutan selama beberapa hari.

“Anarkis yang diketuai Antifa, antara lain, dihentikan dengan cepat. Ia patut dilakukan datuk bandar pada malam pertama dan tidak akan ada masalah timbul!” tulis Trump di Twitter.

Beliau merujuk Jacob Frey, datuk bandar Minneapolis, di mana rakaman video kematian Floyd – selepas seorang anggota polis melutut di lehernya – mencetuskan kemarahan dan protes di seluruh AS serta negara lain.

Derek Chauvin, anggota polis yang melutut di leher Floyd walaupun orang awam merayu beliau tidak berbuat demikian, dipecat dan didakwa dengan pembunuhan tahap ke-3.

Antifa – singkatan bagi anti-fasis – ialah kumpulan rahsia aktivis radikal yang muncul beberapa tahun kebelakangan ini, sebahagiannya menentang demonstrasi rasis di Charlottesville, Virginia pada 2017.

Ia tidak diketahui mempunyai pemimpin rasmi. Ahlinya, sering berpakaian hitam, membantah rasisme, nilai pelampau kanan dan apa yang dianggap mereka fasisme, dan berkata taktik ganas kadangkala dijadikan alasan mempertahankan diri.

Organisasi longgar dan berselerak kumpulan itu menjadikannya sasaran sukar untuk disenaraikan sebagai pengganas.

Kumpulan pengganas domestik, kata FBI di laman webnya, mempromosikan “penggunaan haram atau mengancam penggunaan keganasan…terhadap individu atau harta benda untuk menakut-nakutkan atau mamaksa kerajaan, penduduk atau mana-mana segmen bagi meneruskan matlamat politik atau sosial”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.