Gara-gara tersalah cakap, Fizi dalam Upin & Ipin ‘diserang’ netizen

Gara-gara tersalah cakap, Fizi dalam Upin & Ipin ‘diserang’ netizen

Fizi dilihat menyinggung perasaan pasangan kembar tersebut dengan memberitahu tiada syurga buat mereka yang tidak mempunyai ibu.

Fizi dilihat menyinggung perasaan pasangan kembar tersebut dengan memberitahu tiada syurga buat mereka yang tidak mempunyai ibu. (Gambar Instagram)

Buat anda yang mengikuti siri animasi Upin & Ipin pasti anda akan mengenali watak kanak-kanak bernama Fizi yang merupakan rakan sepermainan pasangan kembar itu.

Walaupun merupakan salah seorang sahabat karib kepada Upin dan Ipin, namun Fizi sejak beberapa hari lalu telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penonton.

Ia berpunca daripada salah satu babak daripada musim 14, Syahdu Syawal yang dimuatkan dalam Kompilasi Episod Raya Upin & Ipin kali ini.

Dalam babak tersebut, Fizi dilihat menyinggung perasaan pasangan kembar tersebut dengan memberitahu tiada syurga buat mereka yang tidak mempunyai ibu.

Ia susulan daripada kenyataan terdahulu Mail yang berceritakan bagaimana syurga seseorang anak itu berada di bawah telapak kaki ibu.

Perkara itu sudah semestinya membuatkan pasangan kembar tersebut sedih kerana seperti kita sedia maklum mereka adalah merupakan anak yatim piatu yang tinggal bersama Opah dan juga Kak Ros.

Malah ianya juga tidak diambil dengan mudah oleh netizen yang rata-ratanya menyifatkan Fizi tidak sepatutnya berkata demikian bagi menjaga perasaan pasangan kembar tersebut.

Instagram rasmi Les Copaque mula “diserang” penonton terutamanya daripada Indonesia yang mahukan penjelasan daripada Fizi mengenai perkara tersebut.

Manakala di Malaysia pula, nama Fizi kini trending di laman Twitter dengan lebih seratus ribu Tweet yang membicarakan mengenai tindakannya menyinggung perasan si kembar tersebut.

Menyedari kata-kata Fizi itu membuatkan ramai yang tidak berpuas hati dengan beliau, laman rasmi Instagram Upin & Ipin semalam akhirnya memuat naik permohonan maaf di akaun mereka.

“Gara-gara video ini, Fizi kini dibenci.

“Maafkanlah Fizi ,” tulis mereka.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.