800 tunaikan solat Aidilfitri di parkir Ikea demi jaga penjarakan sosial

800 tunaikan solat Aidilfitri di parkir Ikea demi jaga penjarakan sosial

Umat Islam yang menunaikan solat itu mengamalkan ‘social distancing’ dengan jarak 1.5m antara satu sama lain, malah diwajibkan bawa sejadah sendiri dan memakai ‘facemask’.

Jemaah yang datang diwajibkan untuk bawa sejadah sendiri dan memakai topeng hidung dan mulut. (Gambar Twitter)

Memandangkan masyarakat seluruh dunia perlu mematuhi norma baharu, maka sambutan hari raya kali ini juga tidak semeriah tahun lepas.

Ini kerana semua umat Islam perlu menunaikan solat sunat Aidilfitri di rumah sahaja malah tiada aktiviti kunjung mengunjungi dibenarkan.

Namun, di Jerman lain sikit apabila pihak Ikea membenarkan masyarakat Muslim di negara tersebut untuk menunaikan solat sunat hari raya di kawasan parkir Ikea.

Sebuah masjid di Wetzlar tampil dengan idea menjadikan tempat letak kenderaan gedung perabot itu sebagai lokasi bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Pemilihan tapak itu bagi membolehkan jemaah bersolat mengikut penjarakan sosial bagi mengekang penularan Covid-19.

BBC News melaporkan sekitar 800 umat Islam bersolat di tapak terbuka itu pada Ahad lalu, sebagai meraikan Syawal selepas berakhirnya Ramadan.

Mereka yang menunaikan solat itu turut mengamalkan “social distancing” dengan jarak 1.5m antara satu sama lain.

Malah para jemaah yang datang juga diwajibkan untuk bawa sejadah sendiri dan memakai “facemask”.

Sekitar 800 umat Islam bersolat di parkir Ikea dengan mengamalkan ‘social distancing’ dengan jarak 1.5m antara satu sama lain. (Gambar Twitter)

“Solat ini secara berjemaah membabitkan Muslim di Wetzlar (barat Jerman) ibarat ganjaran buat kami,” kata pengerusi masjid, Kadir Terzi.

Pemerintah Jerman membenarkan masjid dan rumah ibadat dibuka namun, perlu mematuhi peraturan ditetapkan dalam mengekang penyebaran wabak Covid-19.

Menurut Kadir, pihaknya menghubungi Ikea minggu lalu dalam usaha mencari kemudahan alternatif lain bagi membolehkan solat dilaksana mengikut peraturan.

Ketika itu, dia juga tidak berharap menerima maklum balas positif daripada pengurusan gedung perabot berkenaan.

“Pengurusnya langsung tidak keberatan memberi kebenaran dan beritahu ‘ya, awak boleh bersolat di situ’. Saya terkejut dan dalam masa sama sangat gembira,” katanya yang menguruskan perkara itu bersama jawatankuasa masjid.

Gambar jemaah bersolat di tempat letak kenderaan terbabit tular selepas dikongsi di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi masyarakat dunia.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.