Lembaga minyak sawit yakin harga lebih tinggi hasil hubungan lebih baik dengan India

Lembaga minyak sawit yakin harga lebih tinggi hasil hubungan lebih baik dengan India

Harga paling rendah komoditi itu dari 2016 hingga 2019 ialah RM1,794.50 setan.

India baru-baru ini mula membeli semula minyak sawit Malaysia selepas 4 bulan berikutan pertikaian diplomatik yang berlaku antara 2 negara itu.
PETALING JAYA:
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) percaya harga minyak kelapa sawit mentah akan mencecah RM2,300-RM2,400 setan dalam tempoh beberapa bulan akan datang hasil hubungan diplomatik lebih baik dengan India.

Dalam kenyataan minggu lepas, pengerusi MPOB Ahmad Jazlan Yaakub berkata, harga paling rendah komoditi itu dari 2016 hingga 2019 ialah RM1,794.50 setan.

Maklumat terakhir yang diperolehi di lamanweb MPOB menunjukkan minyak sawit mentah diniagakan pada harga RM2,167 pada 22 Mei.

Jazlan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan India kerana menamatkan sekatan import ke atas minyak sawit bertapis Malaysia, selain menambah bahawa perkembangan positif itu boleh membantu pekebun kelapa sawit dari segi kewangan dalam tempoh penularan wabak Covid-19.

“Saya berharap harga sawit ini akan terus melambung tinggi supaya hasil yang lebih ini dapat dimanfaatkan, terutama kepada pekebun sawit,” katanya.

“Kenaikan harga ini berikutan hubungan diplomatik Malaysia-India semakin baik di bawah pemerintahan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional yang mengambil alih tampuk pemerintahan sejak Mac 2020,” katanya.

India baru-baru ini mula membeli semula minyak sawit Malaysia selepas 4 bulan berikutan pertikaian diplomatik dengan negara pengeluar minyak sawit ke-2 terbesar di dunia itu.

Reuters berkata, Malaysia menandatangani perjanjian untuk membeli 100,000 tan beras dari India, sementara pengimport utama negara itu bersetuju untuk membeli sehingga 200,000 tan minyak sawit mentah daripada Malaysia dan akan dihantar bermula bukan depan dan Julai.

Harga tertinggi minyak sawit tahun lepas mencecah RM3,025.50 setan pada 31 Disember, tetapi pemintaan menguncup berikutan penularan wabak Covid-19 dan sekatan di China yang menyaksikan harga jatuh kira-kira 30% sejak 23 Januari.

Reuters juga melaporkan walaupun pembelian pada bulan Ramadan meningkat – India, Bangladesh, Pakistan, Arab Saudi dan Iran – pada awal Mac, ia bagaimanapun susut berikutan langkah sekatan yang dikuatkuasakan di kebanyakan negara di dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.