
Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) berkata, hospital lapangan dapat memastikan kesejahteraan pegawai bertugas dan memberi nasihat kesihatan serta keselamatan di depot tahanan itu.
Presiden KPISM, Norhisham Murujan berkata pihak berkuasa perlu memastikan peralatan perlindungan diri (PPE) dan alat nyahjangkitan lain yang mencukupi untuk pegawai.
Beliau turut mempertahankan serbuan yang dijalankan pihak berkuasa Imigresen kerana mereka hanya menjalankan tugas mengikut undang-undang.
Katanya, serbuan di beberapa kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) adalah perlu kerana lambakan pendatang tanpa izin di sana boleh mengancam keselamatan masyarakat sebaik saja sekatan berakhir.
Terdapat 3 kluster Covid-19 di depot tahanan Imigresen di Sepang, Bukit Jalil dan Semenyih, dengan penularan itu menyumbang kepada peningkatan kes sehingga 3 angka bagi hari kedua berturut-turut hari ini.
Sesetengah pesakit terdiri daripada pendatang tanpa izin yang ditahan dalam serbuan di beberapa lokasi, termasuk Jalan Masjid India di Kuala Lumpur.