
Zakaria berkata, walaupun tidak mempunyai pengalaman dalam industri seni khususnya industri perfileman tanah air, tetapi dengan pengalaman yang ada dalam bidang perniagaan, beliau akan berusaha membantu penggiat seni yang terkesan ketika ini.
“Pada Rabu depan saya akan masuk ke pejabat, pertamanya saya hendak selesaikan tentang prosedur operasi standard (SOP) bagi kerja-kerja penggambaran, sebab sudah lama dan sudah 70 hari warga industri tidak dapat buat apa-apa.
“Ia memberi kesan ekonomi kepada mereka. Saya akan berbincang dengan pihak pengurusan tentang langkah yang sepatutnya dijalankan untuk memberikan kepada mereka ruang untuk menjalankan kerja-kerja ini,” katanya kepada FMT.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam kenyataan sebelum in mengumumkan pelantikan Zakaria sebagai pengerusi FInas menggantikan pelakon dan penerbit Hans Isaac.
Ketua eksekutif KRU Music Norman Abdul Halim pula dilantik sebagai timbalan pengerusi badan itu. Mereka dilantik untuk tempoh 2 tahun bermula 23 Mei ini, menurut kenyataan kementerian terbabit.
Tambah Zakaria, beliau juga akan menggunakan pengalamannya dalam bidang sosial untuk membantu artis veteran, yang menurutnya, ada dalam kalangan mereka, kebajikannya pada ketika ini terabai dan memerlukan perhatian segera.
“Ini salah satu perkara yang kita akan lakukan. Saya akan cuba, melalui pengalaman yang ada, dengan sedaya upaya yang boleh,” katanya.
Jelasnya, isu dibangkitkan segelintir pihak yang mempertikaikan kredilitinya selepas dilantik pengerusi Finas bukanlah satu masalah besar. Baginya, beliau akan dikelilingi penggiat seni yang berpengalaman untuk membantunya.
“Jika sebelum ini memang orang industri yang memacu Finas tetapi mungkin ada yang ‘cubit sana sini’, tetapi kali ini menteri hendak ubah sikit pendekatan. Dia hendak orang yang kemudi ini adalah orang neutral. Nanti di sekeliling saya adalah orang industri, yang berpengalaman,” katanya.