
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa berkata, keputusan untuk mempertahankan kerusi DUN Chini ditetapkan dan dibincangkan dalam mesyuarat tertinggi BN 2 hari lepas.
“BN akan mempertahankan kerusi tersebut yang disandang Adun dari BN. BN sudah tentu akan meletakkan calon bagi mempertahankan kerusi tersebut. Calon adalah dari Umno.
“Persiapan awal PRK ini sudah digerakkan. Dewan Tertinggi BN memutuskan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail akan bertindak sebagai pengarah jentera PRK,” katanya dalam sidang media di PWTC, hari ini.
Annuar berkata, keputusan meletakkan calon Umno dipercayai akan disokong parti dalam gabungan Muafakat Nasional dan juga diyakini tidak akan menjejaskan kerjasama dalam Perikatan Nasional.
“Umno adalah anggota bersama dengan PAS mendukung Muafakat Nasional. Sudah tentu kerjasama untuk PRK DUN Chini akan diteruskkan seperti mana dilakukan sebelum ini,” katanya.
Pada pilihan raya umum ke-14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini yang disandangnya dalam saingan 3 penjuru dengan majoriti 4,622 undi apabila mendapat undi 10,027.
Dalam pertembungan itu, beliau menewaskan calon PAS, Muhd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi dan calon Pakatan Harapan diwakili PKR, Mohamad Razali Ithnain yang mendapat 1,065 undi.
Beliau merupakan wakil rakyat DUN Chini sejak 2004.
DUN Chini berada di bawah Parlimen Pekan yang diwakili bekas perdana menteri Najib Razak.
Pada masa sama, Annuar turut memaklumkan sehingga kini masih tidak ada keperluan mendesak untuk parti yang bekerjasama dalam Perikatan Nasional untuk mendaftarkan gabungan itu.
“Suasana harmonis dalam kalangan anggota PN perlu dikekalkan. Kalau hendak buat dalam tempoh masa terdekat ini, kita masih belum boleh demikian.
“Sehingga kini masih belum ada garis masa yang ditentukan lagi. Tetapi kita akan terus adakan perbincangan dengan parti yang terlibat bawah PN,” katanya.