Bagaimana New Zealand berjaya ‘menghapuskan’ Covid-19 selepas 5 minggu ‘lockdown’

Bagaimana New Zealand berjaya ‘menghapuskan’ Covid-19 selepas 5 minggu ‘lockdown’

Kejayaan New Zealand lakukan perintah berkurung secara ketat tahap 4 membuahkan hasil apabila hanya 1 kes dicatatkan sejak 1 April lalu daripada 1,487 kes positif sejak 28 Februari.

Jacinda Ardern menunjukkan sistem amaran baru untuk Covid-19. (Gambar AP)

Selepas melaksanakan perintah berkurung agresif di seluruh negara untuk memerangi wabak Covid-19 dan ditambah dengan salah satu pakej bantuan ekonomi yang paling dahsyat berbanding negara-negara lain, kerajaan New Zealand mengumumkan virus itu berjaya “dihapuskan” di negaranya.

Perdana Menteri New Zealand berkata pada 27 April lalu, walaupun kes bukanlah pada paras sifar, namun kes baru sekitar satu digit untuk beberapa hari dan kekal sehingga ke hari ini.

Ini merupakan satu statistik yang sangat menakjubkan di saat negara-negara lain berhadapan dengan beribu-ribu kes setiap hari.

“Kami berjaya melakukan apa yang tak banyak negara mampu lakukan. Kami menghentikan gelombangan kehancuran,” kata Jacinda Ardern.

Sehubungan itu, New Zealand kini melonggarkan sekatan dari tahap 4 kepada tahap 3, yang membenarkan sesetengah perniagaan untuk dibuka semula.

Kejayaan ini memberikan keyakinan yang New Zealand berjaya mencapai sasaran untuk menghapuskannya buat masa ini meskipun mereka tahu kes Covid-19 boleh datang semula bila-bila masa.

Bagaimanapun New Zealand masih belum meraikan kemenangan mereka malah masih menyiasat punca jangkitan itu 1 sahaja kes sejak 1 April lalu.

Perintah berkurung di negara itu dilonggarkan pada 28 April, dengan lebih daripada 400,000 rakyat New Zealand kembali ke tempat kerja dan 75% daripada ekonomi beroperasi.

Sekatan tahap 3 baru ini juga bermakna rakyat New Zealand dibenarkan untuk mengadakan pengebumian kecil dan membeli makanan bungkus.

New Zealand melaporkan 20 kematian dan 1,487 kes positif dan kemungkinan, menurut Universiti John Hopkins.

Daripada jumlah itu, 1,276 atau 85.8% kes disahkan dan kemungkinan, telah pulih sepenuhnya.

Walaupun kejayaan New Zealand dalam menghapuskan virus ini sepatutnya diraikan, namun Jacinda masih menggesa rakyatnya untuk berwaspada.

“Kita masih belum benar-benar pulih. Tahap 3 tempoh pemulihan untuk menilai sama ada usaha luar biasa yang dilakukan oleh rakyat New Zealand, telah berjaya atau tidak,” kata Jacinda.

New Zealand mempunyai beberapa kelebihan dalam menangani virus ini.

Sebagai contoh, ia mempunyai kelebihan dari segi masa, di mana New Zealand mengesahkan kes Covid-19 pertama mereka pada 28 Februari, lebih daripada sebulan selepas Amerika Syarikat mengesahkan kes positif pertama.

Sebagai sebuah negara pulau yang agak terpencil, dan agak sedikit penerbangan yang melalui transit melalui negara itu faktor utama kes berkurangan.

Ia juga diperintah secara terpusat, yang bermaksud tidak mempunyai negeri seperti AS atau negara jirannya Australia.

Tetapi kunci sebenar kejayaan New Zealand datangnya daripada pendekatan dengan melakukan ujian secara meluas dan bergantung sepenuhnya kepada kemajuan sains.

Seperti banyak negara, New Zealand memiliki model yang menunjukkan wabak Covid-19 berpotensi untuk menghancurkan jika tidak ada tindakan yang diambil.

Tidak seperti beberapa negara lain, New Zealand memberikan tindak balas yang agak pantas.

Apabila Jacinda mengumumkan pada 14 Mac sesiapa sahaja yang memasuki negara ini perlu mengasingkan diri selama 2 minggu, ia dilihatkan sebagai salah satu sekatan sempadan paling keras di dunia.

Pada ketika itu, negaranya melaporkan 6 kes Covid-19.

Dan pada 19 Mac, ketika Jacinda melarang warga asing memasuki New Zealand, kes Covid-19 mencecah 28 kes iaitu pertambahan sebanyak 22 kes dalam tempoh 5 hari.

Menjelang 23 Mac selepas 102 kes Covid-19 disahkan di negara ini tanpa sebarang kematian, Jacinda mengumumkan pelaksanaan perintah berkurung.

“Tindakan yang tegas, keras dan awal sangat membantu untuk menghapuskan potensi dahsyat daripada virus ini,” kata Jacinda.

Beliau juga menasihatkan rakyatnya untuk bertindak seperti diri dijangkiti Covid-19.

Sebagai laluan utama ke Kepulauan Pasifik, New Zealand beranggapan mempunyai tanggungjawab untuk melindungi negara jirannya di Pasifik dengan mengambil beberapa tindakan tegas.

Tetapi tindakan pantas itu juga untuk kepentingan rakyatnya.

Ini kerana New Zealand tidak mempunyai katil rawatan rapi yang banyak jika dibandingkan dengan sesetengah negara, jadi mereka perlu bertindak pantas.

Mereka bukan sahaja bertindak pantas, malah New Zealand juga tidak melonggarkan langkah pencegahan sedia ada.

Jacinda memilih untuk menambah 5 hari terhadap langkah-langkah perintah berkurung paling ketat iaitu tahap empat, walaupun kes-kes Covid-19 di New Zealand menurun.

Tidak seperti di kebanyakan negara lain, tindakan keras Jacinda ini disokong oleh majoriti rakyat New Zealand.

Dalam satu kaji selidik, 87% daripada warga negara ini memberitahu mereka bersetuju dengan cara kerajaan New Zealand menangani wabak tersebut.

Ini sangat bertentangan dengan reaksi yang diberikan oleh populasi di beberapa buah negeri di Amerika Syarikat yang membantah di jalanan terhadap arahan kerajaan supaya tinggal di rumah.

Selain daripada tindakan pantas, New Zealand juga meningkatkan jumlah ujian sehingga mereka mampu melakukan sekitar 8,000 ujian setiap hari.

Sehingga 5 Mei, negara itu telah melakukan 152,696 ujian, iaitu 31,665 ujian bagi setiap 1 juta populasi.

Sebagai perbandingan, United Kingdom yang mempunyai populasi 13 kali ganda daripada New Zealand, melakukan sebanyak 1,291,591 ujian (19,026 ujian bagi setiap 1 juta populasi).

Malaysia yang mempunyai lebih daripada 6 kali ganda populasi New Zealand, melakukan sebanyak 205,598 ujian, iaitu 6,352 ujian bagi setiap 1 juta populasi.

Tetapi petanda sebenar ujian New Zealand berhasil adalah kadar positif ujiannya, iaitu jumlah ujian yang disahkan positif.

Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO, Dr Mike Ryan menyatakan penanda aras yang baik sekurang-kurangnya 10 kes negatif untuk setiap kes positif disahkan.

Ini bermaksud jika sebuah negeri atau negara melakukan ujian dan mendapati kes positif sekitar 9% atau kurang, kemungkinan besar ia diuji dengan baik.

Kadar positif ujian New Zealand adalah sekitar 1%, menunjukkan tidak ada penularan komuniti yang meluas berlaku di negara itu.

Di negara lain di seluruh dunia, setiap individu yang dijangkiti Covid-19 menjangkiti sekitar 2.5 orang yang lain dan di bawah perintah berkurung New Zealand, mereka berjaya mengurangkan kadar jangkitan iaitu individu positif hanya menjangkiti 0.4 orang yang lain.

Pengajaran sebenar yang boleh diambil dari New Zealand ialah gabungan sains dan kepemimpinan yang baik, kata Profesor Michael Baker, dari Jabatan Kesihatan Awam Universiti Otago.

Sepanjang tempoh perintah berkurung, Jacinda muncul bersama Pegawai Awam New Zealand, Ahsley Bloomfield pada sidang media harian.

Walaupun Bloomfield seorang penjawat awam, dia berkelayakan dalam bidang perubatan dan mempunyai kepakaran dalam perubatan kesihatan awam.

Menurut kenyataan dalam laman sesawang Kementerian Kesihatan New Zealand, bidang minat profesionalnya adalah pencegahan dan kawalan penyakit tidak berjangkit.

“Di New Zealand, terdapat hubungan antara sains yang hebat dan kepimpinan cemerlang, dan kedua-dua ini adalah tersangat berkesan. Saya sangat kecewa dengan negara yang mempunyai sumber sains terhebat di dunia, seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom, serta kebanyakan di Eropah, namun berada di belakang New Zealand yang mempunyai sumber yang terhad,” kata Profesor Michael Baker.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.