Sempena Hari Ibu, kerajaan digesa beri wanita hak setara kewarganegaraan

Sempena Hari Ibu, kerajaan digesa beri wanita hak setara kewarganegaraan

Wanita Malaysia berdepan halangan, termasuk sekatan terhadap hak anak mereka untuk tinggal di negara ini, akses ke sekolah kerajaan dan penjagaan kesihatan.

Kempen Kesamaan Kewarganegaraan Malaysia berkata, wanita yang gagal memperoleh kerakyatan untuk anak mereka yang dilahirkan di luar negara menghadapi pelbagai masalah.
PETALING JAYA:
Kempen Kesamaan Kewarganegaraan Malaysia hari ini menggesa Putrajaya menangani masalah ibu gagal mendapatkan status kerakyatan bagi anak mereka yang dilahirkan di luar negara secara automatik dan keadaan itu diburukkan lagi dengan krisis Covid-19.

Kempen untuk Kesamaan Kewarganegaraan Malaysia ialah gerakan yang diketuai Kumpulan Sokongan Pasangan Asing (FSSG).

Katanya, wanita warga Malaysia yang tidak dapat mewariskan kewarganegaraan kepada anak dilahirkan di luar negara, terpaksa bergantung kepada kerakyatan suami warga asing untuk anak mereka.

“Ini membawa kepada situasi ini wanita terbabit terpaksa tinggal di luar negara dan kadangkala dalam keadaan penuh penderaan dan mudah terdedah kepada bahaya,” katanya dalam pesanan sempena Hari Ibu.

Menurutnya, ibu warga Malaysia juga berdepan halangan ketika pulang ke tanah air dengan anak mereka bukan warganegara, termasuk hak anak mereka untuk tinggal di negara ini, akses ke sekolah kerajaan dan penjagaan kesihatan.

Oleh itu, katanya, wanita terbabit memilih tinggal di negara suami mereka, “menjadikannya sukar untuk keluar daripada perkahwinan tidak bahagia atau penuh penderaan”.

“Undang-undang kewarganegaraan Malaysia pada hakikatnya melanggar hak wanita atas anak mereka, walaupun mereka mungkin penjaga utama.”

Katanya, wanita Malaysia bercerai yang mempunyai anak bukan warganegara juga memerlukan bantuan bekas suami warga asing untuk memperbaharui pasport anak selagi permohonan kewarganegaraan Malaysia mereka belum selesai.

Ia berkata, proses itu mungkin mengambil masa bertahun-tahun, tanpa jaminan diluluskan.

“Layanan tidak adil terhadap wanita berkaitan pemberian kewarganegaraan kepada anak mereka adalah diskriminasi secara langsung kepada ibu warga Malaysia.”

Katanya, pandemik Covid-19 memburukkan keadaan bagi wanita warga Malaysia yang gagal mendapatkan kewarganegaraan untuk anak mereka.

Ini kerana ibu itu memilih untuk kekal di negara berisiko tinggi berbanding pulang ke Malaysia berikutan anak mereka yang bukan warganegara Malaysia pada amnya mendapat visa jangka pendek, terutama tanpa kehadiran bapa warga asing.

Katanya, bukan saja ibu Malaysia mendapat layanan warganegara tidak setara di sisi undang-undang, mereka juga dianggap penjaga tidak setara untuk anak mereka dengan dasar diskriminasi sedemikian.

“Sempena Hari Ibu, kami menggesa kerajaan Malaysia meminda peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menafikan ibu warga Malaysia mendapat hak sama mewariskan kerakyatan kepada anak mereka yang dilahirkan di luar negara, atas dasar sama dengan bapa warga Malaysia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.