Peluncur selamatkan diri dengan tumbuk jerung di Australia

Peluncur selamatkan diri dengan tumbuk jerung di Australia

Peluncur dari Perancis, Dylan Nacass mengalami luka tusukan di kaki kanannya yang memerlukan jahitan.

Serangan jerung di Australia antara yang tertinggi di dunia, tetapi ia jarang membabitkan kematian. (Gambar Reuters)
SYDNEY:
Seorang peluncur Perancis cedera di kaki selepas menumbuk seekor jerung sebanyak 2 kali di perairan Australia, lapor media tempatan.

Nine News melaporkan Dylan Nacass, 23, sedang meluncur di Pantai Bells, kira-kira 1.5 jam perjalanan dari Melbourne, ketika diserang jerung pada Jumaat lalu.

Rakaman video menunjukkan seekor jerung mengekori 2 lelaki yang mendayung bermati-matian untuk menyelamatkan diri.

Nacass berkata, kakinya hanya dilepaskan daripada rahang jerung itu selepas beliau menumbuk ia 2 kali.

Lelaki tempatan, Matt Sedunary bergegas membantu Nacass selepas menyedari pemuda itu diserang jerung.

“Beliau mula menjerit – Saya ingat beliau hanya bergurau dengan rakannya.”

Kejadian itu berjaya dirakamkan warga Australia, Graham Blade, yang kebetulan sedang membuat penggambaran di lokasi luncur terkenal berdekatan.

“Saya nampak jerung itu muncul di belakang beliau dan tahu ia adalah kejadian sebenar,” kata Blade.

Nacass mengalami luka tusukan di kaki kanannya yang memerlukan jahitan.

Serangan jerung di Australia antara yang tertinggi di dunia, tetapi ia jarang membabitkan kematian.

Data Zoo Taronga di Sydney menunjukkan 27 serangan haiwan berlaku di Australia tahun lalu, tetapi tiada kematian dilaporkan.

Nacass berkata, beliau tidak sabar untuk kembali meluncur selepas lukanya sembuh.

“Saya benar-benar mahu kembali secepat mungkin. Hanya selepas kaki saya okey, saya akan meluncur semula.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.