Kilang proses ayam diarah tutup selepas pekerja positif Covid-19

Kilang proses ayam diarah tutup selepas pekerja positif Covid-19

Selain kilang tersebut, sebuah pasar raya juga ditutup selepas pengawal keselamatannya disahkan positif Covid-19.

Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob.
PUTRAJAYA:
Sebanyak 3 premis diarahkan tutup oleh kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) setakat ini.

Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob berkata, kilang memproses ayam di Negeri Sembilan antara diarahkan tutup selepas pekerjanya didapati positif Covid-19.

Ia dipercayai berkait rapat dengan kluster Pedas di mana pekerja kilang tersebut positif Covid-19 menyebabkan kawasan Rembau kembali ke zon merah apabila mencatatkan peningkatan mendadak 52 kes aktif semalam menjadikan jumlah keseluruhannya 59.

Katanya, selain kilang tersebut, sebuah pasar raya juga ditutup selepas pengawal keselamatannya disahkan positif wabak berkenaan.

Ketiga, penutupan membabitkan tapak pembinaan di Ampang selepas pekerja di situ didapati positif Covid-19.

“Saya ingin tegaskan kepada semua, jika ada tempat kerja mereka didapati pekerja positif Covid-19, jika Kementerian Kesihatan Malaysia merasakan ia perlu ditutup, maka kerajaan akan mengarahkan supaya premis perniagaan mereka ditutup.

“Pasar raya dan kilang ayam itu ditutup bagi membolehkan saringan dibuat ke atas pekerja mereka, dan premis mereka disanitasi,” katanya pada sidang media hari ini.

Benar solat Jumaat belum muktamad

Mengulas isu berkaitan solat berjemaah dan Jumaat, Ismail berkata ia akan dirujuk ke Jawatankuasa Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) terlebih dahulu.

Ini kerana isu berkenaan membabitkan keputusan berkaitan agama dan beberapa hal lain yang memerlukan penelitian yang mendalam.

Sebaik sahaja ia diputuskan MKN, perkara itu akan dimuktamadkan dalam mesyuarat Kabinet sebelum sebarang keputusan mengenainya diumumkan.

“Tapi Menteri Agama Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah pun membentangkan pada mesyuarat pagi tadi.

“Oleh kerana ini membabitkan keputusan besar, isu agama dan sebagainya jadi kita buat keputusan untuk merujuk ke Jawatankuasa Khas MKN yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“Jadi tunggulah selepas ia diputuskan dalam Kabinet buat keputusan dan mungkin akan diumumkan oleh Zulkifli. Kita tunggulah,” katanya.

Semalam, Perlis membenarkan pelaksanaan solat Jumaat di masjid bermula minggu depan atau 15 Mei dengan syarat tertentu.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dalam kenyataan berkata, bagaimanapun pelaksanaannya hanya terhad kepada jawatankuasa masjid tanpa dihadiri orang awam.

Katanya jumlah, jemaah tidak boleh melebihi 12 orang dan tidak kurang daripada 3 orang.

Dalam perkembangan lain, Ismail berkata SOP bagi membolehkan taska kembali beroperasi akan dimuktamadkan KKM dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyaraat.

“Taska perlu dibuka sebab ada ibu bapa kena bekerja dan tidak ada tempat untuk hantar anak, sebab itu akhirnya taska terpaksa dibuka.

“Tapi untuk keselamatan anak di taska, pihak KKM akan mengeluarkan SOP,” katanya.

Mengulas isu hotel yang dijadikan pusat kuarantin rosak, Ismail berkata pihak hotel berhak mengambil tindakan kepada mereka yang terlibat, jika terbukti bersalah.

“Sesiapa sahaja akan tertakluk kepada undang-undang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.