
Ketua Menteri Abang Johari Openg berkata, beliau mendapat maklum balas bahawa ramai rakyat yang masih bergelut dan memerlukan bantuan tambahan sejak pakej rangsangan 1 dan 2 diumumkan pada 23 Mac dan 10 April.
“Sebagai kerajaan yang prihatin, kami peka dan oleh itu kami umumkan pakej rangsangan ke-3,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, pakej baru itu, yang dinamakan “Bantuan Khas Sarawakku Sayang 3.0” mengandungi 7 langkah, termasuk:
- Bayaran tunai sekali gus sebanyak RM500 kepada 377,806 individu bujang berumur 21 tahun ke atas yang berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan.
- #ayaran tunai sekali gus sebanyak RM500 kepada pemilik dan pengendali penambang (teksi sungai) berdaftar.
- Bayaran tunai sekali gus sebanyak RM600 kepada 959 penegndali van penumpang, 1976 pemandu teksi dan 739 pengendali bas dan van sekolah berdaftar.
- Geran khas sebanyak RM1,500 kepada 145 pemandu pelancong dan 113 pemandu pelancong Taman Negara yang berdaftar.
- Geran sekali gus sebanyak RM1,500 kepada kira-kira 500 anggota media atas sumbangan mereka membuat liputan krisis Covid-19.
Selain itu, bayaran RM200 sebulan akan diberikan selama 6 bulan kepada:
- 358 anggota kastam yang betugas di semua pintu masuk sempadan, pelabuhan dan lapangan terbang.
- 870 kakitangan Pihak Berkuasa Tempatan yang membantu melaksanakan tugas perkhidmatan kecemasan, pemeriksaan dan sanitasi.
- 887 anggota bomba dan penyelamat yang menjalankan kerja-kerja sanitasi di kawasan berisiko tinggi.
- 500 anggota Angkatan Pertahanan Awam yang membantu polis dan tentera memastikan pelaksanaan PKP dipatuhi.
Abang Johari juga berkata, kerajaan negeri bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Simpanan Nasional (BSN) dan beberapa institusi kewangan lain untuk memperluas perkhidmatan mereka ke kawasan luar bandar kerana orang ramai berdepan kesukaran mendapat akses kepada perkhidmatan bank.
Beliau berkata, ini akan dilakukan melalui perkhidmatan bank bergerak yang dilengkapkan dengan kemudahan ATM.
Katanya, kerajaan negeri akan memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM1.6 juta kepada BSN untuk menggerakkan perkhidmatan bergerak mereka ke kawasan luar bandar.
Abang Johari juga berkata, geran khas tambahan sebanyak RM750 juga diberikan kepada penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan.
“Dengan geran tambahan ini, setiap penjaja dan peniaga kecil akan menerima secara keseluruhan RM2,250 bantuan melalui geran khas,” katanya.