Penganggur toreh muka anak saudara dipenjara 3 bulan

Penganggur toreh muka anak saudara dipenjara 3 bulan

Tertuduh mengaku bersalah sengaja mendatangkan kecederaan terhadap remaja lelaki 16 tahun dengan menoreh rahang pipi kiri mangsa menggunakan pisau.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 5 Feb.
PETALING JAYA:
Padah mengamuk sehingga menoreh pipi anak saudaranya menggunakan pisau, seorang penganggur dijatuhkan hukuman penjara 3 bulan oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Majistret Zhafran Rahim Hamzah menjatuhkan hukuman itu terhadap V Mathuria Veeran, 23, selepas dia mengaku bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, dengan menoreh rahang pipi kiri mangsa menggunakan senjata itu.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapnya pada 5 Feb.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Blok B, PPR Lembah Subang, Putra Damai, pada 12 tengah malam, 5 Feb lalu dakwaan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana 2 daripada seksaan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Zubaidah Mahat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk pemenjaraan, terhadap tertuduh mengambil kira kecederaan serius yang dialami mangsa.

Lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan tidak berkemampuan membayar denda, dan perlu menanggung isteri serta anak.

Difahamkan, pada hari kejadian, tertuduh pergi ke rumah bapanya di mana tertuduh mengamuk secara tiba-tiba, sebelum bertindak mencederakan anak saudaranya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.