Ariff tolak usul Dr M kekalnya sebagai speaker Dewan Rakyat

Ariff tolak usul Dr M kekalnya sebagai speaker Dewan Rakyat

Sebagai jawapan kepada usul Dr Mahathir Mohamad, Ariff Md Yusof berkata ia tidak selaras dengan Perintah Tetap 27.

Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof.
PETALING JAYA:
Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof menolak usul untuk mengekalkannya sebagai ketua badan perundangan itu sehingga Parlimen dibubarkan.

Sebagai jawapan kepada pencadang usul, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Ariff berkata ia tidak selaras dengan Perintah Tetap 27.

“Oleh itu, saya tidak akan membenarkan usul dibawa ke mesyuarat,” katanya dalam surat yang dilihat FMT.

Hakim bersara Mahkamah Rayuan itu mengangkat sumpah sebagai speaker Dewan Rakyat pada 16 Julai 2018.

Individu dalam parti Mahathir, PPBM, mengesahkan perkara itu kepada FMT.

Bagaimanapun, beliau berkata nasib usul lain Mahathir yang meminta undi tidak percaya terhadap penggantinya Muhyiddin Yassin tetap tidak diketahui.

Mahathir, yang merupakan ahli Parlimen Langkawi, meminta speaker membenarkan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Muhyiddin tidak mendapat sokongan majoriti daripada 222 ahli Parlimen untuk dilantik sebagai perdana menteri.

Beliau mengemukakan kedua-dua usul tersebut pada 4 Mei.

Ariff semalam menolak cadangan yang sama dari Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal yang mengemukakan usul undi percaya terhadap Mahathir kerana mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen.

Mahathir mengundurkan diri dari jawatan tertinggi itu pada 24 Feb lalu susulan krisis politik yang menyaksikan Pakatan Harapan tumbang daripada menguasai kerajaan persekutuan.

Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1 Mac.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.