Amerika Latin catat 300,000 kes Covid-19, 16,000 kematian

Amerika Latin catat 300,000 kes Covid-19, 16,000 kematian

Brazil negara paling terjejas di rantau itu dengan lebih 8,500 kematian dan 125,000 kes baru.

Caption: Petugas kesihatan mengambil tekanan darah seorang wanita di unit rawatan kecemasan Marechal Hermes di Brazil pada Rabu. (Gambar AP)
MONTEVIDEO:
Amerika Latin menyaksikan kes Covid-19 melepasi 300,000 pada Khamis manakala jumlah kematian di rantau itu meningkat kepada 16,000, menurut laporan AFP.

Brazil, negara terbesar di rantau itu, adalah yang paling terjejas teruk setakat ini dengan lebih 8,500 kematian – lebih separuh daripada jumlah keseluruhan dan 125,000 kes.

Sementara negara jiran, Peru adalah negara ke-2 paling terjejas selepas Brazil dengan 55,000 kes dan 1,500 kematian.

Krisis itu dilihat paling berbahaya di Mexico dengan 2,700 kematian menerusi hanya 27,600 kes, walaupun ia mungkin disebabkan oleh tahap ujian yang rendah.

Walaupun Peru dan Chile masing-masing menguji 13,000 dan 12,000 orang bagi setiap 1 juta penduduk, menurut Worldometers, angka Mexico hanya berjumlah 800 orang.

Diukur sebagai sebahagian daripada populasi, Ecuador setakat ini paling teruk terjejas dengan 92 kematian per juta, 2 kali ganda berbanding Peru.

Keadaan di Brazil amat membimbangkan kerana ia bersempadan dengan 10 negara dan wilayah. Presiden Jair Bolsonaro menambah kebimbangan itu dengan menurunkan skala pandemik Covid-19.

Beliau menghadiri bantahan terhadap langkah pengurungan dan pejarakkan sosial, yang mendorong penyokongnya mengingkari perintah sekatan pergerakan.

Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (Paho) menasihatkan semua negara di rantau itu supaya terus “berhati-hati” dan memberi amaran kadar penularan di Brazil, Ecuador, Peru, Chile dan Mexico “masih sangat tinggi”.

Puncak penularan dijangka berlaku dalam beberapa hari akan datang di beberapa negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.