

Jerry Chan berkata, keputusan mengesahkan status pekerja terbabit adalah lebih baik kerana mereka bekerja dan menyumbang kepada ekonomi.
Beliau mengakui bahawa pekerja haram diambil bekerja dalam industri pembinaan dan juga sektor perladangan serta industri kecil dan sederhana (SME).
“Pekerja haram diambil bekerja bukan sahaja dalam pembinaan tetapi juga perladangan dan SMR. Itu tidak boleh dinafikan.
“Bagaimanapun semua pihak perlu ‘membersihkan’ industri ini,” katanya kepada FMT, merujuk kepada langkah Putrajaya menahan migran tanpa dokumen yang dikenakan perintah sekatan di Kuala Lumpur.
Chan berkata, langkah itu memburukkan lagi masalah kekurangan pekerja dalam kalangan syarikat pembinaan “yang mengalami kerugian selama 2 bulan (kerana PKP)”.
Beliau berkata, syarikat memerlukan pekerja asing kerana rakyat Malaysia tidak berminat bekerja dalam sektor itu melainkan gajinya lebih tinggi, “tetapi ia akan menyebabkan harga hartanah meningkat lebih tinggi”.
Katanya, langkah menghalalkan pekerja pembinaan yang tidak berisiko akan menjamin keadaan “tidak terlalu buruk” apabila industri itu dimulakan semula.