Pemulihan industri pelancongan Sabah dijangka ‘sukar dan berliku’

Pemulihan industri pelancongan Sabah dijangka ‘sukar dan berliku’

Kerajaan Sabah memutuskan untuk menguatkuasakan fasa ke-5 PKP dengan membenarkan beberapa industri beroperasi semula.

Kekayaan serta kepelbagaian budaya dan keindahan alam Sabah menjadi tarikan utama pelancong ke negerib itu sebelum menularnya wabak Covid-19.
KOTA KINABALU:
Sabah berharap akan dapat memulihakn industri pelancongan yang pesat sewaktu negeri itu mula melonggarkan sekatan berikutan keputusan kerajaan untuk beralih ke fasa ke-5 perintah kawalan pergerakan (PKP).

Industri pelancongan Sabah sangat aktif sebelum ini dengan jumlah kemasukan pelancong yang tinggi, tetapi semuanya terhenti berikutan pandemik Covid-19 awal tahun ini.

Walaupun aktiviti pelancongan tidak termasuk di dalam senarai industri yang dibenarkan dibuka semula pada masa ini, namun Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Christina Liew berkata, rancangan pemulihan industri itu sudah ada dan akan dilaksanakan sebaik sahaja mendapat lampu hijau.

Christina, yang juga timbalan ketua menteri, jalan pemulihan industri itu sukar dan berliku.

“Tetapi kami tetap yakin. Malah sekarang ini pun kami mengadakan sesi perbincangan dengan semua ketua jabatan bagi melihat bagaimana kami boleh menangani keadaan.

“Kami melihat sisi positif dengan harapan rancangan pemulihan boleh dilaksanakan tanpa masalah pada penghujung tahun ini atau awal tahun depan.

“Sebagai langkah mula, kami akan membuat permohonan dengan kementerian kewangan negeri untuk menaik taraf dan memperbaiki produk pelancongan sedia ada, termasuk infrastruktur dan penyelenggaraan semua kemudahan kami.”

Kerajaan Sabah memutuskan untuk menguatkuasakan fasa ke-5 PKP dengan membenarkan beberapa industri beroperasi semula.

Ketua Menteri Shafie Apdal berkata, keputusan itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula hari ini.

Antara sektor yang dibenarkan beroperasi semula adalah pertanian dan industri makanan, pembuatan dan perniagaan melibatkan sokongan logistik seperti pengangkutan darat, jeti dan pelabuhan.

Bercakap kepada pemberita selepas acara penyerahan topeng hari ini, Christina berkata, apabila PKP ditamatkan, kerja-kerja baik pulih bangunan Pusat Kebudayaan Sabah, calet Air Panas Poring, Dewan Peringatan Petagas dan Taman Bukit Tawau akan dimulakan.

Selain itu, terdapat juga cadangan untuk memberi diskaun 50% ke atas fi masuk ke Taman Hidupan Liar Lok Kawi, muzium negeri dan Taman Tunku Abdul Rahman meliputi 5 pulau, bagi meggalakan orang tempatan melawat tapak pelancongan utama di negeri itu.

“Kami akan terus memperkuatkan produk dan strategi untuk memulakan semula aktiviti pelancongan negeri. Ini bagi memastikan kita bersedia untuk lonjakan baru industri ini kelak.”

Katanya, beliau menerima maklum balas yang bercampur-campur daripada pengusaha hotel di Sabah, dengan sesetengahnya bersiap-sedia untuk membuka semula perniagaan, sementara yang lain mengaku mereka mungkin terpaksa gulung tikar.

“Pada masa ini, saya tidak pasti hotel mana yang akan terus beroperasi. Ia bergantung pada pengurusan dan kesediaan mereka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.