
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Christina Rundi, berkata sejak Disember tahun lalu, JKNS melaksanakan Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS) bagi kanak-kanak berumur di bawah 13 tahun yang seharusnya menerima 2 dos vaksin bivalen oral Polio(bOPV) dan 2 dos mOPV.
“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, prestasi pencapaian liputan imunisasi di negeri ini sedikit menurun,” katanya, dalam kenyataan, hari ini.
Christina berkata secara keseluruhannya seramai 681,161 atau 79.83% kanak-kanak berumur di bawah 13 tahun diberi suntikan dos pertama bOPV manakala dos kedua hanya 43.2%.
Beliau berkata JKNS menyasarkan liputan imunisasi pada tahap 95% untuk memastikan imuniti kelompok bagi menyekat penularan jangkitan polio dalam komuniti.
Sabah merekodkan 4 kes polio sejak Disember tahun lalu iaitu 2 kes di Sandakan dan masing-masing 1 kes di daerah Tuaran dan Kinabatangan.