Ia boleh berlaku kepada orang lain juga, kata ibu tunggal dipenjara kerana ingkar PKP

Ia boleh berlaku kepada orang lain juga, kata ibu tunggal dipenjara kerana ingkar PKP

B Lisa Christina mendapat perhatian umum apabila membandingkan hukuman dihadapinya dengan anak dan menantu presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

B Lisa Christina bercakap kepada pemberita mengenai pengalamannya di penjara.
KUALA LUMPUR:
Ibu tunggal yang pada mulanya dipenjara 1 bulan kerana ingkar perintah kawalan pergerakan (PKP) hari ini mengulangi pendiriannya bahawa hukuman itu adalah satu bentuk ketidakadilan dengan berkata, individu ternama yang melakukan kesalahan sama hanya dikenakan denda.

B Lisa Christina, yang hukuman penjaranya kemudiannya digantikan dengan denda RM1,000 mendapat perhatian umum apabila membandingkan hukuman dihadapinya dengan anak dan menantu presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Nurul Hidayah Ahmad Zahid dan Saiful Nizam Mohd Yusoff dijatuhi hukuman denda RM800.

“Saya tidak tahu ia menjadi tular,” katanya, merujuk kepada hantaran di Facebook beliau mengenai isu itu. Lisa bagaimanapun memadamkan hantaran itu selepas itu.

Pada sidang media bersama ahli Parlimen Batu, P Prabakaran di sini, Lisa yang menjalani 8 daripada 30 hari hukuman itu berkata, beliau tidak mahu orang lain berdepan pengalaman yang sama.

“Saya diketawakan oleh tahanan warga asing kerana menjalani hukuman 1 bulan penjara akibat PKP.

“Sesetengah mereka dijatuhi hukuman penjara lebih pendek atas kesalahan PKP dan dadah,” katanya.

“Apa yang berlaku kepada saya boleh berlaku ke atas orang lain juga.”

Lisa, yang mempunyai anak lelaki berusia 6 tahun, keluar apartmennya pada 12 April untuk membeli sepaket minuman di kedai berdekatan.

Beliau berhenti untuk berbual dengan 3 individu lain sebelum pulang ke rumah. Lisa ditahan polis pada waktu itu.

Mahkamah Majistret Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara 30 hari ke atas Lisa. Bagaimanapun susulan rayuan, hukuman itu digantikan dengan denda RM1,000, yang merupakan amaun maksimum bagi kesalahan itu.

Dalam sidang media hari ini, Lisa berkata, beliau diikat jamin oleh seorang kawan di balai polis dan diberitahu supaya hadir ke mahkamah seminggu selepas itu.

Ahli Parlimen Batu P Prabakaran (kiri) dan B Lisa Christian pada sidang media di pusat khidmat PKR Parlimen Batu.

“Seorang peguam yang berada di situ membantu saya mengendalikan kes di mahkamah.

“Beliau menasihati saya supaya mengaku salah dan membayar denda.”

Katanya, beliau terperanjat apabila dijatuhi hukuman penjara setelah membuat pengakuan bersalah. Lisa terus dibawa ke tempat tahanan di komplek mahkamah sebelum dibawa ke penjara Kajang.

Beliau berkata, 2 individu lain yang dibawa ke mahkamah sebelumnya pada hari itu hanya didenda RM1,000 kerana kesalahan PKP.

Lisa berkata, warden penjara memberitahunya supaya hadir ke Mahkamah Tinggi pada 29 April setelah peguam berkenaan dan pembantunya memfailkan semakan.

“Malah peguam itu menghubungi ibu saya dan memberitahu bahawa kami akan membuat rayuan,” katanya.

Dalam pada itu Prabakaran berkata, beliau akan membangkitkan isu perbezaan hukuman itu di sidang Parlimen akan datang.

“Saya dengar ada kes seorang individu ditahan kerana keluar rumah kerana isyarat telefonnya lemah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.