Britain negara Eropah paling teruk terjejas atasi Itali

Britain negara Eropah paling teruk terjejas atasi Itali

Jumlah keseluruhan korban Covid-19 di Britain 29,427 orang, dikuti Itali iaitu 29,315 orang.

Petugas kesihatan lengkap dengan kelengkapan pelindung diri membawa pesakit ke Hospital St Thomas di London pada 6 Apr. Koronavirus baru itu menyebabkan sakit teruk pada warga emas dan orang yang ada masalah kesihatan. (Gambar AP)
LONDON:
Britain kini mengatasi Itali sebagai negara paling teruk terjejas di Eropah, akibat wabak COVID-19, lapor agensi berita Xinhua.

Setiausaha Luar Negeri, Dominic Raab berkata pada taklimat media di Downing Street, Selasa seramai 693 pesakit maut menjadikan jumlah keseluruhan 29,427.

Terdahulu, data dikeluarkan Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS) menunjukkan jumlah korban melebihi 32,000 orang menjadikan Britain negara paling teruk diancam diikuti Itali.

Angka korban di Itali berjumlah 29,315.

Raab berkata keadaan itu satu “tragedi besar” tetapi sukar untuk membandingkan antara negara sebelum wabak berakhir.

“Saya tidak fikir kita akan peroleh keputusan tepat sehingga wabak itu berakhir, terutamanya sehingga kita dapat data antarabangsa yang komprehensif mengenai semua punca kematian,” katanya.

Beliau berkata fasa seterusnya pasti “tidak mudah” ketika rakyat Britain mula untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan “normal baru”.

Sementara itu, Setiausaha Kesihatan Matt Hancock berkata aplikasi mengesan wabak mula menjalani ujian pada Selasa di Isle of Wight. Kerajaan berharap dapat melancarkan aplikasi itu pada “pertengahan bulan ini”.

Pada Khamis pula, Perdana Menteri Boris Johnson berkata negara itu “melepasi waktu puncak” wabak dan pelan “komprehensif” akan diumumkan akhir minggu ini mengenai “bagaimana untuk terus memerangi penyakit itu” sambil membuka semula ekonomi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.