Ujian besar-besaran pekerja asing berisiko jadi masalah rumit, kata MMA

Ujian besar-besaran pekerja asing berisiko jadi masalah rumit, kata MMA

Persatuan perubatan berkata makmal kerajaan mungkin tidak boleh tangani bilangan sampel ujian yang tinggi dalam tempoh masa yang singkat.

MMA berkata Kementerian Kesihatan patut dikekalkan untuk saringan pekerja asing.
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata menguji semua pekerja asing untuk Covid-19 tidak praktikal dan berisiko menjadi masalah logistik yang rumit ketika firma dibuka semula untuk perniagaan.

Presiden Dr N Ganabaskaran berkata makmal Kementerian Kesihatan mungkin tidak boleh menangani bilangan sampel ujian yang tinggi dalam tempoh masa yang singkat.

Beliau berkata pendekatan saringan bersasaran patut dikekalkan.

“Mungkin banyak perniagaan tidak mampu menjalankannya, kebanyakannya mengalami kerugian kerana operasi dihentikan sementara semasa perintah kawalan pergerakan.

“Seseorang masih boleh berisiko dijangkiti selepas ujian jika mereka tidak amalkan amalan pencegahan yang betul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ganabaskaran berkata pekerja asing berisiko tinggi untuk dijangkiti virus itu kerana persekitaran kerja dan keadaan kehidupan mereka, menegaskan kerajaan mesti perhatikan perkara itu.

Katanya, kebanyakan mereka tinggal di asrama atau rumah kongsi dengan bilik yang terhad dan dikongsi ramai pekerja, menyukarkan penjarakkan sosial.

“Penjarakkan sosial juga mesti dipatuhi oleh syarikat yang membawa pekerja ke tempat kerja,” katanya.

Ganabaskaran berkata lebih mustahak bagi Putrajaya membentangkan penyelesaian jangka masa panjang dengan memastikan tatacara operasi standard bagi industri difahami pekerja dengan menterjemahkan ia kepada bahasa ibunda.

Beliau menegaskan penguatkuasaan SOP juga sama penting, menggesa Putrajaya memantau sektor yang sangat bergantung pada buruh asing dan menjalankan pemeriksaan rawak.

Kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani saringan Covid-19, ekoran peningkatan kes positif dalam kalangan mereka.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata ia akan dimulakan di Kuala Lumpur dan Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.