Perkeso akan tanggung pekerja asing yang carum, menteri jawab MEF

Perkeso akan tanggung pekerja asing yang carum, menteri jawab MEF

Kerajaan berkata lebih 60% pekerja asing sah membuat caruman Perkeso.

Perkeso akan tanggung kos saringan Covid-19 bagi lebih 60% pekerja asing sah yang mencarum dengannya, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menanggung kos saringan Covid-19 bagi pekerja asing yang mencarum dengannya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata lebih 60% pekerja asing sah membuat caruman Perkeso, menjawab kritikan kumpulan majikan terhadap langkah mewajibkan majikan menanggung kos ujian ke atas pekerja asing masing-masing.

“Mereka akan ditanggung oleh Perkeso dari segi ujian Covid-19 yang dilakukan ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, Persekutuan Majikan Malaysia mengingatkan kerajaan perniagaan ketika ini bergelut untuk memulakan semula operasi selepas sekatan hampir 2 bulan, mengatakan mereka mungkin terpaksa berbelanja sehingga RM1 bilion jika ikut arahan menguji semua pekerja asing oleh Putrajaya.

Pengarah Eksekutif Shamsuddin Bardan juga menyifatkan langkah itu “keterlaluan” dan boleh membawa kepada kerumitan logistik kerana terdapat kira-kira 2.3 juta pekerja asing sah.

Sementara itu, Ismail menegaskan keperluan mewajibkan pekerja asing menjalani saringan Covid-19, ekoran peningkatan kes positif dalam kalangan mereka dalam beberapa hari lalu.

Beliau berkata kerajaan bimbang kewujudan kluster baru melibatkan pekerja asing, seperti dihadapi Singapura, yang sebelum ini mencatatkan trend kes positif yang mendatar.

Warga asing dengan rumah ke-2

Sementara itu, Ismail berkata warga asing yang mempunyai rumah di Malaysia tidak dibenarkan pulang buat masa ini.

Apabila mereka pulang, mereka mesti menjalani kuarantin selama 14 hari, seperti rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.

“Terutama yang dari negara luar yang risiko Covid-19 tinggi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.