
PUTRAJAYA: Semua pekerja asing di semua sektor diwajibkan menjalani saringan Covid-19, ekoran peningkatan kes positif melibatkan kalangan pekerja asing, susulan kes di satu tapak pembinaan di Ampang.
Kos ujian itu perlu ditanggung majikan, kata Menteri Kanan (Pertahanan), Ismail Sabri Yaakob.
“Kementerian Kesihatan akan mulakan di Wilayah Persekutuan dan Selangor,” katanya pada sidang media hari ini.
Kementerian Kesihatan semalam mengumumkan ia mengesan satu lagi kluster baru, selepas 28 kes positif dikesan di satu tapak pembinaan di Kuala Lumpur.
Kluster itu dinamakan kluster tapak pembinaan Kuala Lumpur. Kementerian Kerja Raya sudah menutup tapak tersebut.
Ismail berkata kerajaan akan menutup mana-mana tempat yang ada kes positif Covid-19.
“Ditutup serta merta,” katanya.