Kes positif Covid-19 lepasi 3.5 juta di seluruh dunia

Kes positif Covid-19 lepasi 3.5 juta di seluruh dunia

Kes baru paling banyak direkodkan negara di Amerika Utara dan Eropah dalam beberapa hari ini, tetapi terdapat peningkatan kes di Amerika Latin, Afrika dan Rusia.

SYDNEY:
Jumlah kes positif Covid-19 di seluruh dunia melepasi 3.5 juta pada Isnin, dengan kematian menghampiri 250,000 kes, walaupun kadar kematian dan kes baru perlahan berbanding waktu puncak bulan lalu, menurut statistik Reuters.

Kes baru paling banyak direkodkan negara di Amerika Utara dan Eropah dalam beberapa hari ini, tetapi terdapat peningkatan kes di Amerika Latin, Afrika dan Rusia.

Sebanyak 84,004 kes baru dilaporkan di seluruh dunia dalam tempoh 24 jam lalu, menurut pengiraan Reuters yang berdasarkan data rasmi kerajaan.

Ini menjadikan keseluruhannya lebih 3.5 juta kes Covid-19 berbanding kira-kira 3 hingga 5 juta kes penyakit teruk akibat selesema bermusim tahunan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Walaupun pakar berkata, kes sebenar koronavirus mungkin lebih tinggi daripada statistik sedia ada, unjuran itu lebih rendah daripada selesema Sepanyol yang bermula pada 1918 dan menjangkiti kira-kira 500 juta orang.

Kematian Covid-19 kini berjumlah 245,992 orang.

Kematian pertama dilaporkan di Wuhan, China, pada 10 Jan lalu selepas virus itu muncul di sana pada Disember tahun lalu.

Kadar kes baru harian di seluruh dunia dalam lingkungan 2 hingga 3% sejak seminggu lalu, berbanding waktu puncak sekitar 13% pada pertengahan Mac, yang mendorong banyak negara mula melaksanakan sekatan yang menyebabkan perniagaan ditutup dan melumpuhkan ekonomi global.

Kini, tindakan banyak negara melonggarkan sekatan mencetuskan kontroversi kerana pakar berpendapat ia bukan strategi terbaik untuk memastikan tiada penularan “gelombang kedua” yang besar.

Pegawai kesihatan turut menyuarakan kebimbangan berhubung peningkatan kes di beberapa negara kerana berlaku kekurangan ujian saringan dan kemudahan perubatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.