
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia, Samsuddin Bardan berkata, banyak perniagaan masih berdepan masalah apabila menyambung semula operasi dan mereka memerlukan bimbingan kerajaan kerana tidak pernah melalui situasi sedemikian.
“Malangnya, penguat kuasa tidak memikirkan survival majikan dan pekerja, mereka lebih berminat dalam menguatkuasakan undang-undang untuk memastikan rakyat mematuhinya, seperti yang dilihat ketika sekatan jalan.
“Kami tidak mahu sebarang penularan juga dan disebabkan itu kami mahu pegawai membimbing kami dan pekerja kami,” katanya kepada FMT.
Di bawah PKPB yang bermula hari ini, kerajaan melonggarkan sebahagian sekatan yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu dalam usaha membendung penularan Covid-19.
Aktiviti ekonomi dan sosial tertentu dibenarkan, kecuali perhimpunan beramai-ramai yang akan mendedahkan orang ramai kepada jangkitan.
Shamsuddin menggesa Putrajaya memainkan peranan penasihat berbanding mengeluarkan notis kompaun untuk sebarang kesalahan.
Presiden Persatuan Peruncit Malaysia, Gary Chua berkata peruncit masih membincangkan cara baru menjalankan perniagaan mereka.
“Kami sedang mengadakan sesi perbincangan kerana ini kali pertama kami menghadapi norma baru di tempat kerja.”
Peruncit akan mengarahkan pekerja mengingatkan pelanggan untuk mengamalkan penjarakan sosial dan keperluan memakai topeng ketika berada di dalam kedai.
“Kami mahu membendung penularan sebanyak mungkin kerana gelombang kedua terlalu merugikan kami.”
Katanya, pekerja asing yang diambil sebagai tukang bersih di pusat beli-belah perlu mematuhi prosedur yang betul.
Mencari penyelesaian
Bekas timbalan menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye turut mencadangkan kerajaan memainkan peranan penasihat dan bukannya mengenakan hukuman untuk sebarang pelanggaran prosedur.
Beliau mencadangkan 50,000 graduan jurusan kejururawatan, farmasi dan radiografi dilatih sebagai pegawai pematuhan di kilang, pusat beli-belah, kedai makan, taman dan kawasan perumahan.
Katanya, mereka boleh memantau aktiviti dan menasihatkan orang ramai untuk mengamalkan penjarakan sosial dan menjaga kebersihan tangan.
“Virus itu akan bersama kita untuk satu atau 2 tahun lagi.
“Perniagaan mengalami banyak kerugian ketika PKP. Mereka mahu mematuhi norma baru, tetapi mungkin tidak tahu cara melaksanakannya.”
Katanya, kos mengambil 50,000 pegawai pematuhan dianggarkan kira-kira RM2.4 bilion setahun, tetapi ia akan memberi banyak manfaat sebagai pulangan, dengan memastikan rakyat mematuhi peraturan.
Presiden Persatuan Psikologi Malaysia, Goh Chee Leong berkata, norma baru akan menimbulkan tekanan dalam kalangan pekerja dan pelbagai tindak balas.
“Perkara paling sukar untuk rakyat ialah belajar menerima hakikat dunia yang mereka ingat sebelum PKP tidak lagi wujud.”
Katanya, pekerja perlu saling mengingatkan satu sama lain mengenai peraturan baru bagi membendung sebarang penularan.