Perlis setuju laksana PKPB bermula esok

Perlis setuju laksana PKPB bermula esok

Keputusan itu diambil selaras dengan langkah kerajaan persekutuan berkait prosedur dan operasi sektor ekonomi berdasarkan SOP yang ditetapkan oleh MKN.

Kerajaan negeri Perlis berkata, sektor awam juga akan memulakan operasi esok selari dengan arahan bertarikh 3 Mei bagi menjamin penerusan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat yang tidak terjejas wabak Covid-19. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan negeri Perlis bersetuju menerima pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula esok.

Dalam kenyataan hari ini, kerajaan negeri berkata, keputusan itu diambil selaras dengan langkah kerajaan persekutuan berkait prosedur dan operasi sektor ekonomi berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ia berkata, sektor awam juga akan memulakan operasi esok selari dengahn arahan bertarikh 3 Mei untuk membuka premis kerajaan susulan pelaksanaan PKPB bagi menjamin penerusan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat yang tidak terjejas wabak Covid-19.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa kerajaan negeri akan menyemak semula langkah pelaksanaan PKPB untuk sektor ekonomi dari masa ke masa menerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) berpandukan keadaan di negeri itu yang kini dikategorikan sebagai zon hijau wabak tersebut.

Selain itu mesyuarat JKKN yang akan diadakan pada Selasa ini akan mengkaji dan membuat keputusan penambahbaikan berdasarkan garis panduan pelaksanaan PKPB.

Ia berkata, kerajaan negeri juga memandang serius usaha untuk mengekalkan status zon hijau demi kebajikan rakyat dan pada masa sama meneruskan langkah untuk menyekat penularan wabak Covid-19.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa keputusan rasmi berhubung perkara itu akan dipaparkan di portal Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis di www.perlis.gov.my.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.