
Thailand merupakan antara destinasi pilihan ramai rakyat Malaysia. Mesti ada daripada anda yang sudah terbayang kecantikan pulau, tempat membeli-belah dan juga pelbagai jenis makanan di Thailand.
Namun berikutan penularan wabak Covid-19, pastinya percutian anda ke Thailand tahun ini terpaksa dibatalkan.
Jangan bimbang dan bersedih, gunakan peluang ini untuk merancang perjalanan ke Bangkok, Thailand dari Singapura dengan menaiki keretapi mewah.
Mesti anda tertanya-tanya, betul ke ada keretapi terus ke Bangkok, Thailand dari Singapura?

Berdasarkan perkongsian pengguna Twitter @Akram_Haruka1 keretapi mewah Eastern & Oriental Express dan perjalanan mengambil masa 3 hari 2 malam dalam keretapi ke Bangkok, Thailand ternyata sangat mengujakan.
Untuk pengetahuan, Eastern & Oriental Express ini hanya beroperasi dengan kekerapan 2 hingga 4 kali sebulan sahaja.
Menariknya, keretapi mewah ini bertaraf 5 bintang dan anda pasti selesa sepanjang perjalanan ke destinasi.

Rekaan dalaman dan luaran Eastern & Oriental Express ini tampil klasik dan mewah.
Walaupun ia kelihatan klasik tetapi anda akan selesa kerana terdapat penghawa dingin dalam keretapi.
Difahamkan terdapat 3 jenis kabin yang anda boleh pilih iaitu Pullmans, Staterooms dan Presidential Suite.
Setiap kabin hadir dengan katil, sofa dan bilik air tetapi saiz setiap jenis kabin berbeza.
Lebih menarik, keretapi ini memiliki 3 gerabak untuk anda nikmati makanan dan anda juga boleh tempah meja makan ketika anda beli tiket perjalanan.

Selain itu, anda juga boleh menikmati pemandangan dan menghirup udara luar sepanjang perjalanan di gerabak “The Observation” kerana ia berkonsepkan open air.
Bagi anda yang ingin nikmati waktu minum petang dengan secawan kopi dan bersantai, anda boleh ke gerabak “Observation Car Lounge”.
Manakala jika anda ingin baca buku di perpustakaan, atau membeli cenderamata, anda boleh ke gerabak “Saloon Car with Reading Room & Boutique”.
Hanya dengan melihat semua posting ini sudah pasti membuat anda merasa seronok, bukan?
Harga tiket keretapi Eastern & Oriental Express termasuk makan dan minum bermula dari RM11,784 dan boleh mencecah sehingga RM34,320 seorang.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman sesawang Eastern & Oriental Express dan terdapat pelbagai pakej yang anda boleh ambil sama ada dari Singapura atau dari Kuala Lumpur.
Jika anda inginkan pengalaman yang berbeza dan berkemampuan untuk merasai perjalanan cukup mewah ini, anda mungkin boleh pertimbangkan untuk mencuba menaiki keretapi Eastern & Oriental Express ini.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]