Pelajar UMS jalani kuarantin 14 hari, selepas 40 hari terkurung di kampus

Pelajar UMS jalani kuarantin 14 hari, selepas 40 hari terkurung di kampus

Banyak pihak mempersoal langkah pihak berkuasa kesihatan susulan tiada bukti penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar di kampus.

Universiti Malaysia Sabah berkata, ia perlu mematuhi peraturan kuarantin yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan sebelum membenarkan pelajar pulang ke kampung. (Gambar Bernama)
KOTA KINABALU:
Banyak pihak tidak berpuas hati berhubung langkah mewajibkan kuarantin 14 hari ke atas pelajar Universiti Malaysia Sabah selepas mereka terkurung di kampus selama lebih 40 hari.

Mereka tidak berpuas hati kerana pelajar di kebanyakan universiti lain hanya dikehendaki menjalani kuarantin di rumah selama 2 minggu.

Seorang pembaca FMT bernama Wong Haoen, mempersoalkan kenapa pelajar terbabit tidak boleh pulang ke rumah masing-masing.

Beliau bertanya kenapakah UMS enggan menghantar pulang pelajar selepas 40 hari mereka tinggal di asrama, sekali gus tidak terdedah kepada Covid-19.

“Respons daripada Jabatan Kesihatan berhubung keperluan menjalani kuarantin tambahan 14 hari itu tidak jelas,” katanya.

Surat pekeliling daripada UMS bertarikh 30 April mendedahkan bahawa pihak universiti itu diminta oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri supaya mematuhi syor Jabatan Kesihatan.

Peraturan itu termasuklah kuarantin 14 hari. Setelah disahkan negatif wabak berkenaan, pelajar terbabit akan diberikan surat kebenaran untuk balik ke kampung masing-masing.

Kementerian Pengajian Tinggi membenarkan pelajar pulang sejak 27 April lepas dengan syarat mereka berada di zon hijau dan pulang ke kampung yang juga berada dalam zon hijau.

Kota Kinabalu dikategorikan sebagai zon kuning dengan 14 kes aktif Covid-19 sejak 28 April. UMS terletak dalam zon ini.

Jurucakap UMS memberitahu FMT bahawa universiti itu tertakluk kepada prosedur yang ditetapkan Jabatan Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dan pihak berkuasa negeri.

“Kami mahu pastikan pelajar pulang dengan selamat. Bagaimanapun terdapat prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa yang perlu dipatuhi,” katanya.

Pengarah Kesihatan Sabah Dr Christina Rundi tidak memberi respons kepada pertanyaan.

Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal berkata, pelajar yang balik dari semenanjung dan Sarawak dibenarkan menjalani kuarantin 14 hari di rumah masing-masing, bukannya ditempatkan di pusat kuarantin kerajaan.

Beliau berkata, ibu bapa perlu memastikan anak mereka mematuhi proses kuarantin itu sepanjang tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Bagaimanapun pelajar dari zon merah atau kawasan yang dijangkiti perlu hadir ke pusat kuarantin kerajaan.”

Tempoh kuarantin yang perlu dijalani akan ditentukan oleh pegawai kesihatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.