MTUC gesa kerajaan ambil tindakan ke atas majikan, PKS tidak patuh SOP

MTUC gesa kerajaan ambil tindakan ke atas majikan, PKS tidak patuh SOP

Amanah menjaga kesihatan dan keselamatan pekerja daripada jangkitan Covid-19 terletak di bahu majikan dan PKS.

Majikan dan PKS dibenarkan beroperasi semula dengan tertakluk kepada syarat dan tatacara operasi standard bermula 4 Mei seperti diumumkan oleh Putrajaya semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan bersikap tegas dan tidak berkompromi dengan majikan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang gagal, degil dan mementingkan diri dengan mengkhianati kebenaran beroperasi yang diberikan kerajaan.

Presidennya Abdul Halim Mansor berkata, beliau khuatir kebenaran 100% yang diberikan kerajaan akan menyebabkan majikan dan PKS tidak akan menyaring pekerja mereka kerana tidak mahu “kehilangan masa kerja” jika pekerja terpaksa dihantar untuk membuat saringan di klinik.

“MTUC menyarankan supaya kerajaan dengan pasukan pemantau perintah kawalan pergerakan (PKP) memulakan gerakan memeriksa premis yang beroperasi dan meminta laporan saringan Covid-19 yang dibuat ke atas pekerja yang mula bekerja.

“MTUC juga menggesa supaya perbuatan melanggar syarat dan garis panduan PKP dikira terbatal dan mereka mesti kekal seperti sebelum PKP dengan status jawatan dan gaji mereka,” katanya kepada FMT.

Presiden MTUC, Abdul Halim Mansor.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja berkata, hampir semua sektor ekonomi, kegiatan perniagaan dan sosial akan dibenarkan beroperasi semula dengan tertakluk kepada syarat dan tatacara operasi standard bermula 4 Mei.

Katanya, langkah ini penting kerana perniagaan dan pekerjaan merupakan sumber pendapatan, dan sekiranya sekatan ketat berpanjangan, ia akan menjejaskan kewangan.

Bagaimanapun, kegiatan ekonomi dan sosial yang melibatkan perhimpunan ramai atau sentuhan badan, yang mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan masih tidak dibenarkan, seperti panggung wayang dan bazar, bola sepak dan rugbi.

Dalam pada itu, Halim berkata, MTUC berterima kasih kepada Muhyiddin atas langkah yang mengembirakan masyarakat pekerja dengan mengisytiharkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Katanya, majikan dan PKS dibenarkan beroperasi semula dengan syarat dan garis panduan yang ditetapkan kerajaan.

“Kerajaan dengan ini menyerahkan amanah menjaga kesihatan dan keselamatan daripada jangkitan Covid-19 kepada majikan dan PKS.

“Saringan Covid-19 di klinik yang disediakan dengan kos ditanggung, tetapi sehingga kini tidak diambil tindakan melibatkan pekerja yang dibenar bekerja dari 18 Mac lalu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.