
Beliau berkata, amalan yang menjadi kebiasaan sebelum ini mungkin tidak lagi boleh digunakan.
“Syarikat yang sebelum ini banyak bergantung kepada tenaga buruh kini perlu mengurangkan kebergantungan mereka dan memberi tumpuan lebih kepada automasi serta penggunaan teknologi yang meluas,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja berkata, hampir semua sektor ekonomi, kegiatan perniagaan dan sosial dibenarkan beroperasi semula bermula 4 Mei tertakluk kepada syarat dan tatacara operasi standard ditetapkan.
Dalam pada itu, Azmin berkat,a proses pendigitalan juga perlu dipercepatkan bagi mengurangkan “human contact” di premis perniagaan.
Katanya, pendigitalan kini bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan bagi memastikan kelangsungan perniagaan dalam jangka panjang.
“Dalam tempoh beberapa bulan lepas, penggunaan komunikasi digital membantu memudah cara perhubungan rakyat.
“Mesyuarat digital dan webinar menjadi kebiasaan dan platform digital juga merupakan elemen yang penting dalam melancarkan proses perniagaan,” katanya.
Azmin berkata, secara tidak langsung, perkembangan itu membantu mentransformasikan negara menjadi sebuah ekonomi digital.
Katanya, terdapat juga organisasi yang berjaya memanfaatkan potensi Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet of Things (IoT).
“Syarikat yang terpaksa bergantung kepada tenaga buruh yang intensif tidak boleh alpa tentang aspek perlindungan pekerja, termasuk isu berkaitan kesihatan, kebersihan dan keselamatan.
“Majikan dan pekerja juga digalakkan memuat turun aplikasi MySejahtera dan MyTrace bagi tujuan pengesanan kontak,” katanya.
Azmin berkata sektor ekonomi yang akan beroperasi mulai 4 Mei ini wajib mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi industri masing-masing.
Katanya, kegagalan mematuhi SOP adalah satu kesalahan dan boleh menyebabkan tindakan undang-undang diambil ke atas syarikat dan firma terbabit.
“Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) sekiranya terdapat kenaikan mendadak kes baru di mana-mana kawasan,” katanya.