
Najib berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak seharusnya terburu-buru dalam membuat keputusan membenarkan operasi perniagaan dibuka semula, sebaliknya ia perlu dilakukan secara berperingkat mengikut sektor demi sektor.
“Sektor demi sektor. Secara beransur-ansur, tidak perlu gelojoh sangat. Janganlah sekali gus, nanti susah hendak kawal. Apabila kita buat sekali gus macam ini, ia akan beri risiko kepada khidmat kesihatan dan petugas kesihatan kita.
“Adakah mereka bersedia jika berlaku kluster baru secara mendadak dan jumlah yang ramai. Negara Kanada dan Jepun sudah berlaku, apabila mereka melonggarkan ‘lockdown’, kes jangkitan meningkat dengan mendadak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Putrajaya hari ini mengisytiharkan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei ini bagi meringankan sekatan berikutan tekanan ke atas ekonomi semakin dirasai selepas perintah kawalan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac.
Muhyiddin dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja berkata hampir semua sektor ekonomi, kegiatan perniagaan dan sosial akan dibenarkan beroperasi semula tetapi tertakluk kepada syarat dan tatacara operasi standard bermula 4 Mei.
Menurut Muhyiddin, langkah ini penting kerana perniagaan dan pekerjaan merupakan sumber pendapatan dan sekiranya sekatan ketat berpanjangan, ia akan menjejaskan kewangan.
Bagaimanapun kegiatan ekonomi dan sosial yang melibatkan perhimpunan ramai atau sentuhan badan dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan masih tidak dibenarkan.
Najib berkata, sebarang pengumuman yang dilihat memberi kesan kepada ramai pihak perlulah dibuat awal memandangkan persediaan lebih teratur perlu dibuat supaya situasi tidak menjadi kelam-kabut.
“Jika hendak buka semula, beritahulah awal-awal supaya kita boleh buat persediaan yang lebih teratur. Ini hari Jumaat beritahu, hari Isnin depan dah perlu kerja. Pulak tu, hari ini adalah hari kelepasan am. Mahu kelam kabut dibuatnya.
“Perancangan kena betul kerana ia melibatkan rakyat. Apa kata minggu depan bermula 4 Mei dikira sebagai tempoh persediaan untuk membuka sahaja,” katanya.
Najib sebaliknya berkata, 11 Mei merupakan tarikh sesuai untuk membuka semula operasi perniagaan.
“Gunakan tempoh 1 minggu ini untuk ajar rakyat bagaimana hendak amalkan prosedur operasi standard (SOP) penjarakkan sosial dan menyesuaikan diri semasa di tempat umum.
“Perlu dilakukan secara beransur-ansur, bukan mendadak seperti ini,” katanya.