PBT patut benar kilang beroperasi selepas Miti lulus, kata Ismail Sabri

PBT patut benar kilang beroperasi selepas Miti lulus, kata Ismail Sabri

Kilang dibenar beroperasi perlu patuh SOP ketat ditetapkan bagi memastikan penjarakan sosial dalam kalangan pekerja terus dipatuhi.

PBT perlu benarkan sektor ekonomi yang sudah mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk menjalankan operasi.
PETALING JAYA:
Menteri Kanan Pertahanan Ismail Sabri Yaakob mengakui wujud kekeliruan berhubung kelulusan membenarkan sektor ekonomi beroperasi sepenuhnya ketika perintah kawalan pergerakan masih berkuat kuasa, susulan dakwaan campur tangan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata, sektor ekonomi yang sudah mendapat kelulusan beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) sepatutnya dibenarkan beroperasi oleh pihak PBT.

“Memang kita ada bincang tadi, sepatutnya PBT benarkan setiap kilang yang Miti telah luluskan untuk beroperasi. PBT sepatutnya benarkan, mungkin ada sedikit kekeliruan.

“Kita minta perkara ini dibincangkan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Ia bagi memastikan kilang yang sudah diluluskan operasi oleh Miti akan turut mendapat kelulusan PBT,” katanya pada sidang media harian beliau di Putrajaya, hari ini.

Ismail berkata demikian bagi menjawab isu dibangkitkan pengarah eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) Shamsuddin Bardan, bahawa pihaknya menerima 10 aduan dalam kalangan operator pengeluar barangan elektronik yang dilarang oleh PBT untuk beroperasi tanpa sekatan masa.

Sebelum ini, Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, Putrajaya memutuskan semua sektor ekonomi yang mendapat kelulusan beroperasi ketika PKP boleh menjalankan aktiviti dengan kapasiti penuh tanpa sekatan masa.

Bagaimanapun kelonggaran itu tertakluk kepada kewajipan syarikat berkaitan untuk mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi sektor masing-masing.

Katanya lagi, kilang yang dibenarkan beroperasi tetap perlu mematuhi SOP ketat yang ditetapkan Miti bagi memastikan penjarakan sosial dalam kalangan pekerja mereka terus terjaga.

“Kilang-kilang yang dibenarkan dibuka, sebenarnya dari segi penjarakan sosial dan sebagainya terdapat dalam SOP yang ditetapkan Miti. Miti menetapkan SOP yang ketat bagi memastikan penjarakan sosial.

“Ia melibatkan kilang keperluan asas, seperti makanan dan sebagainya. Ia sebenarnya sudah dibuka, cuma dahulu dari segi peratusan pekerja mungkin 50% sahaja, tetapi sekarang sudah 100% dibenarkan. Memang pembukannya secara berperingkat,” katanya.

Pada masa sama, Ismail turut memaklumkan sebarang pemberian dan sumbangan makanan kepada individu yang berada dalam kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) disarankan diserahkan kepada pusat operasi bagi setiap kawasan.

Menurutnya, ia perlu dilakukan bagi memudahkan kerja petugas barisan hadapan untuk mengedarkan bantuan yang diberi secara adil dan saksama, selain mengelakkan berlaku keciciran dalam kalangan penerima.

“Kepada NGO terutamanya atau orang persendirian yang ingin memberikan bantuan makanan kepada mereka di kawasan PKPD, saya sarankan supaya hantar ke pusat operasi yang dibuka di setiap kawasan. Melalui pusat operasi itu, barangan akan diedarkan oleh petugas barisan hadapan.

“Melalui cara ini pemantauan dapat dilakukan dari segi pengagihan barangan terbabit. Ada NGO yang hantar secara terus, jadi kadang-kadang pusat operasi tidak tahu sama ada mereka yang tinggal di kawasan PKPD sudah terima atau tidak barangan itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.