
Hazrul Hizham Ghazali dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, berdepan 1 pertuduhan mencabul dan 6 pertuduhan merogol seorang wanita Mongolia berusia 20 tahun di sebuah hotel di sini pada 10 serta 11 April lalu.
Dia turut menghadapi 2 pertuduhan merogol seorang lagi wanita Mongolia berusia 36 tahun di tempat sama pada 11 April lalu.
Dia dikatakan menggunakan kuasanya sebagai pegawai polis ke atas mangsa.
Jika sabit kesalahan merogol, dia boleh dipenjarakan 10 hingga 30 tahun dan disebat, manakala kesalahan mencabul boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda.
Hakim Norshila Kamaruddin membenarkan Hazrul diikat jamin RM27,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 Jun untuk sebutan semula kes.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Asnawi Abu Hanipah meminta mahkamah tidak membenarkan jaminan ke atas Hazrul kerana bimbang dia akan mengganggu saksi.
Peguam Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili Hazrul memberitahu mahkamah, isu itu tidak timbul kerana saksi di bawah perlindungan polis.
Semalam, Hazrul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang terhadap 2 pertuduhan menyalahgunakan kuasa untuk mengeksploitasi 2 wanita sama atas tujuan eksploitasi seks.