
Bekas pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Azharuddin Abdul Rahman, berkata kesan terhadap perjalanan udara dan pelancongan hanya akan dirasakan pada awalnya. Penerbangan tambang murah akan kembali memuncak setelah syarikat penerbangan lain mengambil slot penerbangan AirAsia.
Pakar dan penyelidik penerbangan Roger Teoh bersetuju, berkata syarikat penerbangan baru akan diwujudkan untuk menggantikan syarikat penerbangan yang tidak mampu bertahan.
Azharuddin berkata slot penerbangan AirAsia akan menjadi komoditi penerbangan yang berharga. Syarikat penerbangan itu mempunyai ratusan slot setiap hari.
Beliau tidak dapat membayangkan AirAsia menghentikan operasi setelah syarikat penerbangan itu “mengubah landskap perjalanan udara, tidak hanya di rantau ini, tetapi juga di Asia Pasifik”.
Azharuddin berkata terdapat tempat untuk kedua-dua syarikat penerbangan tambang rendah seperti AirAsia dan syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines.
Kedua-dua syarikat penerbangan itu berada di tengah-tengah spekulasi baru-baru ini mengenai penggabungan, dengan Malaysia Airlines berdepan masalah kewangan sejak sekian lama.
AirAsia baru-baru ini mengumumkan 96% daripada angkatan 255 pesawatnya tidak terbang berikutan pandemik Covid-19. Kakitangan diminta terima pengurangan gaji antara 15% dan 75%, dan pengeluar pesawat Airbus baru-baru ini mengumumkan akan menjual 6 pesawat yang ditempah AirAsia.

Azharuddin berkata, kedua-dua syarikat penerbangan itu harus menjalin kerjasama tetapi kekal sebagai entiti yang berasingan agar kekal bersaing.
Kerjasama itu boleh mengambil manfaat daripada lebih 600 juta penduduk Asia Tenggara, dengan Asia Pasifik sebagai kawasan lain, katanya.
Azharuddin berkata kerjasama Malaysia Airlines-AirAsia mampu bersaing dengan Singapore Airlines (SIA).
SIA baru-baru ini bergabung dengan syarikat penerbangan tambang rendah SilkAir pada Februari, sebelum pandemik memuncak.
‘Punca masalah AirAsia’
Teoh, seorang penyelidik dari Imperial College London yang mengkhusus dalam penerbangan, berkata penggabungan antara AirAsia dan Malaysia Airlines akan meningkatkan harga tambang dalam jangka masa panjang berikutan kekurangan persaingan.
Katanya, walaupun belum pasti sama ada AirAsia akan menghentikan operasi, sebarang potensi syarikat penerbangan tambah murah henti beroperasi hanya akan memberi kesan terhadap industri pelancongan untuk sementara waktu.
Syarikat penerbangan baru akan diwujudkan untuk menggantikan syarikat penerbangan yang ditutup, dengan potensi penyatuan antara syarikat penerbangan sedia ada.
Teoh berkata keputusan pengurusan AirAsia menyumbang kepada masalah dihadapi syarikat penerbangan itu. Dasar penjualan dan penyewaan balik (di mana pesawat dijual dan dipajak semula daripada pembeli) mengakibatkan perbelanjaan operasi yang lebih tinggi.
Teoh mendakwa sejak model itu digunapakai pada 2019, “AirAsia tidak memperoleh keuntungan tahunan (annualized profit)”.
RM5 bilion yang diperoleh daripada penjualan pesawat kemudian diagihkan semula kepada pemegang saham sebagai dividen khas dari Disember 2018 hingga Ogos 2019, langkah yang memberi kesan pada kesihatan kewangan jangka masa panjang dan ketahanan AirAsia.
Lindung nilai harga bahan bakar pada akhir 2019 menyebabkan syarikat penerbangan itu membekukan kos bahan bakarnya, tambah Teoh.
“Mereka tidak dapat memanfaatkan harga minyak murah yang kita lihat hari ini,” katanya.
“Ini dijangka akan menyebabkan kerugian derivatif yang sangat besar dalam penyata kewangan mereka yang akan datang.”