
Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad berkata, pergerakan pelajar ke 17 destinasi di 3 buah negeri di utara tanah air akan menggunakan perkhidmatan 50 buah bas yang sudah disanitasi.
“Daripada jumlah tersebut, 32 buah bas menuju ke negeri Kedah, 13 ke negeri Pulau Pinang dan 5 buah bas lagi menuju ke Perlis,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Sembilan pusat pelepasan pelajar terbabit ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Teknologi Malaysia cawangan Kuala Lumpur (UTM KL), Universiti Sains Islam Malaysia cawangan Kuala Lumpur (USIM KL) dan Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Beliau berkata, taburan pelajar IPT yang berlepas dari pusat pelepasan adalah 89 orang dari UIAM, UKM (150), UM (164), UPM (80), UiTM Shah Alam (146), UPNM (50), UTM KL (49), USIM KL (31) dan 31 dari Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
“Kerajaan sebelum ini memutuskan membenarkan pergerakan pelajar dari kawasan zon hijau ke kampung halaman yang berada di dalam zon hijau secara berperingkat bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19,” katanya.
80,000 pelajar terperangkap di kampus universiti dan rumah sewaan masing-masing di seluruh negara sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PK) pada 18 Mac lepas dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan wabak Covid-19.